Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Selepas Indonesia Kekal Program B40
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi and Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini berikutan jangkaan bahawa Indonesia akan meneruskan program biodiesel B40 tahun ini, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari yang berpangkalan di Kuala Lumpur, David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd berkata berita mengenai Indonesia berpotensi menangguhkan program biodiesel B50nya telah memberi kesan negatif kepada sentimen pasaran.
"Harga MSM dijangka mendapat sokongan pada paras RM4,000 setan, manakala rintangan pada RM4,180," katanya kepada Bernama, sambil menambah Indonesia berkemungkinan akan melaksanakan program biodiesel B50 menjelang tahun depan.
Dilaporkan Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto mengumumkan bahawa kerajaannya tidak akan memperkenalkan biodiesel B50 tahun ini.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto telah mengarahkan supaya dasar biodiesel kekal pada tahap B40, dengan kajian berterusan dan persediaan untuk pelaksanaan B50 akhirnya.
Pada penutupan, kontrak Januari 2026 jatuh RM15 kepada RM3,965 satu tan, Februari 2026 susut RM30 kepada RM4,030, Mac 2026 berkurangan sebanyak RM26 kepada RM4,064.
Kontrak April 2026 merosot RM24 kepada RM4,079, Mei 2026 turun RM24 kepada RM4,083 satu tan, dan Jun 2026 kehilangan RM22 kepada RM4,076 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 113,314 lot berbanding 90,086 lot yang dicatatkan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 260,968 kontrak daripada 258,843 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan tidak berubah pada RM4,050 setan.
-- BERNAMA