BERITA TERKINI   Tiga hingga empat individu akan dipanggil untuk beri kenyataan tentang dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | Ambil iktibar krisis di Timur Tengah, jadikan perpaduan sebagai kekuatan Malaysia - PM Anwar | Anggaran 60 peratus ahli KWSP berpotensi capai tahap simpanan asas kira-kira RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030 - Amir Hamzah | Polis telah ambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | PM Anwar seru Felda dilibatkan dalam projek pembinaan, pembangunan negara dan tidak menjadi entiti terasing | 

Kewangan Islam Berpotensi Sediakan Penyelesaian Untuk Keterangkuman, Perubahan Iklim - Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kewangan Islam telah menunjukkan potensinya untuk menyediakan penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran berkaitan rangkuman dan perubahan iklim, kata Bank Dunia hari ini,

Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia untuk Malaysia Judith Green berkata aset kewangan Islam global dianggarkan sebanyak AS$3.9 trilion pada akhir 2024 dan terdapat potensi yang besar untuk memanfaatkan kewangan Islam selanjutnya seiring dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) dan matlamat iklim, berdasarkan prinsip teras kewangan Islam.

Bagaimanapun, memetik laporan "Kewangan Islam dan Agenda Iklim" oleh Bank Dunia-Bank Pembangunan Islam yang baru dilancarkan, Green berkata laporan itu menganggarkan 4.6 peratus pembiayaan Islam global yang dikumpul antara 2017 dan 2024 telah dikaitkan dengan aktiviti hijau dan mampan.

"Jelas sekali, kewangan Islam boleh memainkan peranan penting dalam merapatkan sebahagian daripada jurang pembiayaan SDG global," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada pelancaran laporan itu di sini hari ini.

Green berkata Kumpulan Bank Dunia menyedari peningkatan permintaan daripada negara kliennya untuk memenuhi keperluan pembiayaan iklim mereka melalui instrumen kewangan Islam memandangkan kewangan Islam memberikan peluang unik untuk menggerakkan sumber dengan cara yang mematuhi peraturan kewangan Islam dan selaras dengan objektif kemampanan.

“Penglibatan Kumpulan Bank Dunia dalam kewangan Islam secara langsung berkaitan dengan usaha kami untuk memperluas akses dan penggunaan perkhidmatan kewangan di negara-negara klien terutamanya untuk golongan rentan termasuk wanita.

“Kami telah bekerjasama dengan negara-negara klien untuk menyesuaikan produk kewangan konvensional, menjadikannya patuh shariah sekali gus memperluaskan rangkaian instrumen kewangan Islam,” katanya

-- BERNAMA