Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kekukuhan Harga Di Bursa Komoditi Dalian dan CBOT

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi dan Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Konrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini berikutan harga yang lebih kukuh di Bursa Komoditi Dalian (DCE) dan harga minyak kacang soya yang lebih tinggi di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) semasa waktu dagangan Asia, kata seorang peniaga.

Peniaga proprietari berpangkalan di Kuala Lumpur, David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd berkata sentimen pasaran bertambah baik disebabkan oleh khabar angin yang mengatakan bahawa Indonesia mungkin meningkatkan duti eksport MSM daripada 10 peratus kepada 15 peratus.

Beliau berkata perubahan berpotensi ini boleh berlaku antara Februari dan Mac, 2026 untuk membiayai subsidi biodiesel B50 sebagai persediaan untuk mandat yang dijadual dilaksanakan pada 1 Julai, 2026.

“Pertimbangan Indonesia untuk meningkatkan duti eksport bagi membiayai mandat biodiesel B50 masih memberi impak positif terhadap prestasi pasaran.

“Duti yang lebih tinggi akan menjadikan MSM di Malaysia lebih murah, bermaksud permintaan lebih tinggi terutamanya dari China dan India. Kami menjangkakan minat belian yang lebih kukuh daripada kedua-dua negara dalam pasaran MSM dan minyak kacang soya dalam beberapa minggu akan datang,” kata Ng kepada Bernama.

Dari segi peratusan, beliau berkata eksport MSM dari Malaysia ke China mungkin berada dalam lingkungan 20 peratus, manakala eksport ke India diunjurkan antara 25 dan 30 peratus.

Ng berkata paras sokongan pada RM4,000 satu tan metrik, manakala paras rintangan ditetapkan pada RM4,150 setan.

Selain khabar angin levi eksport, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group berpangkalan di Mumbai, India, Anilkumar Bagani berkata MSM ditutup lebih tinggi hari ini selepas Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan bahawa negara itu mungkin akan mengambil alih empat hingga lima juta hektar ladang minyak sawit pada 2026.

“Jika berlaku, ia boleh memberi impak jangka panjang. Pada masa ini, tumpuan diberikan kepada stok minyak sawit Malaysia pada akhir Disember berjumlah melebihi tiga juta tan yang mungkin memberi tekanan kepada harga dalam tempoh jangka pendek,” katanya.

Anilkumar berkata ketidakpastian melibatkan kenaikan levi dan kekurangan perbincangan terbaharu mengenai mandat B50 Indonesia telah menyebabkan niaga hadapan MSM turun selepas peningkatan sebelumnya.

Pada penutupan, kontrak Januari 2026 meningkat RM25 kepada RM3,985 satu tan metrik, Februari 2026 naik RM8 kepada RM4,021 setan, dan Mac 2026 menokok RM10 kepada RM4,043 satu tan.

Kontrak untuk April 2026, Mei 2026, dan Jun 2026 menokok sebanyak RM17, masing-masing pada RM4,059 setan, RM4,059 satu tan dan RM4,048 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 110,659 lot daripada 84,068 lot pada hari Rabu, manakala minat terbuka meningkat kepada 255,449 kontrak daripada 251,439 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Januari Selatan tidak berubah pada RM4,000 setan.

-- BERNAMA