Pertumbuhan Permintaan Kargo Di Asia-Pasifik Meningkat 10.3 Peratus Pada November - IATA
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Syarikat penerbangan di Asia Pasifik mencatatkan pertumbuhan permintaan kargo udara sebanyak 10.3 peratus tahun ke tahun pada November 2025, manakala kapasiti meningkat sebanyak 8.4 peratus tahun ke tahun dalam tempoh sama, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
IATA yang berpangkalan di Geneva dalam satu kenyataan hari ini berkata permintaan kargo udara global melonjak 5.5 peratus tahun ke tahun pada November, didorong oleh syarikat penghantaran yang mengutamakan serahan tepat pada masanya menjelang musim cuti akhir tahun.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata permintaan pasaran baharu muncul yang kukuh dan pertumbuhan terpilih di Timur Tengah berperanan lebih daripada mengimbangi kelembapan di benua Amerika dalam persekitaran pelarasan berterusan terhadap rejim tarif baharu Amerika Syarikat (AS).
“Secara global, suku keempat untuk kargo udara berdaya tahan kerana peralihan perdagangan yang strategik membentuk prestasi merentasi pasaran utama. Prestasi yang kukuh untuk 2025 memberi petanda baik untuk industri kargo udara ketika ia memasuki tahun baharu,” katanya.
IATA berkata beberapa faktor perlu diberi perhatian dalam persekitaran operasi, antarnya termasuk pertumbuhan perdagangan barangan global sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun pada bulan Oktober; harga bahan api jet meningkat 5.9 peratus pada bulan November meskipun harga minyak mentah jatuh, dipacu oleh gangguan daripada kilang penapisan; sekatan Kesatuan Eropah ke atas produk keluaran Rusia dan kapasiti penapisan tambahan terhad, meningkatkan “crack spreads” sebanyak dua kali ganda paras tahun lepas.
Crack spreads bermaksud perbezaan harga antara minyak mentah dengan produk siap tapis (seperti petrol, diesel, dan bahan api jet) yang dihasilkan daripadanya.
Sentimen pembuatan global melonjak pada bulan November dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) meningkat untuk bulan keempat berturut-turut, mencecah 51.17.
“Pesanan eksport baharu naik sedikit kepada 49.87, bagaimanapun kekal di bawah ambang pengembangan 50 mata, mencerminkan langkah berhati-hati yang berterusan di tengah-tengah ketidakpastian tarif,” katanya.
Menurut kenyataan itu, jumlah bahagian pasaran trafik kargo oleh syarikat penerbangan yang diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer (CTK) adalah seperti berikut: Asia Pasifik (34.3 peratus), Eropah (21.5 peratus), Amerika Utara (25.7 peratus), Timur Tengah (13.6 peratus), Amerika Latin dan Caribbean (2.9 peratus) dan Afrika (2.0 peratus).
Sementara itu, jumlah permintaan yang diukur dalam CTK meningkat sebanyak 5.5 peratus pada November 2025 berbanding setahun yang lepas (+6.9 peratus untuk operasi antarabangsa), kapasiti yang diukur dalam CTK tersedia, menokok sebanyak 4.7 peratus berbanding November 2024 (+6.5 peratus untuk operasi antarabangsa).
-- BERNAMA