BERITA TERKINI   PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag bermula, pusat penamaan calon dibuka 9 pagi | 

Fasa Pertama Banci Ekonomi 2026 Fokus Sektor Informal, Termasuk Peniaga Dalam Talian - DOSM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Fasa pertama Banci Ekonomi (BE) 2026 yang sedang berlangsung ketika ini memberi fokus kepada sektor informal termasuk perusahaan berskala kecil, mikro dan perniagaan dalam talian yang semakin berkembang pesat, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor informal merujuk kepada aktiviti perniagaan dalam talian dan aktiviti perniagaan konvensional seperti peniaga mudah alih yang tidak mempunyai struktur yang kekal.

Beliau berkata BE 2026 bagi sektor informal akan dijalankan secara terperinci bagi mendapatkan liputan penuh aktiviti ekonomi yang dijalankan bermula di peringkat kecil yang tidak berstruktur.

"Berbanding dengan perusahaan yang (lebih) besar mereka ada perakaunan dan sebagainya, jadi sektor informal kita kena duduk dengan mereka untuk melihat bagaimana corak aktiviti mereka dan apa yang terhasil.

"Ini membolehkan data yang kita peroleh dijadikan data statistik negara yang boleh membantu balik mereka, dan juga (membantu) agensi yang akan melihat tentang bagaimana memperkasakan sektor ini berpaksikan kepada data yang lengkap dan holistik," katanya menerusi program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan BernamaTV, hari ini.

Menurut Mohd Uzir, pendekatan banci digunakan supaya DoSM mendapat liputan penuh dari satu kawasan ke satu kawasan bagi mengumpul data ekonomi secara terperinci.

"Kita turun ke lapangan dan juga menggunakan hubungan yang rapat dengan komuniti setempat termasuk persatuan penjaja, para peniaga dan juga ketua kampung atau ketua komuniti yang membolehkan kita dapat kerjasama yang baik," katanya.

BE 2026 dilaksanakan mengikut tiga fasa iaitu Fasa Pertama bermula 5 Jan sehingga 28 Feb melibatkan sektor informal dan mikro; Fasa Kedua pada 1 Mac hingga 30 Jun (perusahaan mikro, kecil dan sederhana); dan Fasa Ketiga, dari 1 Jun hingga 31 Okt 2026 melibatkan perusahaan sederhana dan besar.

Sejumlah 1.34 juta entiti perniagaan di seluruh negara, merangkumi perusahaan informal, perniagaan mikro, perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat besar akan terlibat dalam BE 2026.

Mohd Uzir berkata BE 2026 adalah peluang terbaik untuk kerajaan menilai semula data ekonomi negara dalam merencana bantuan kepada peniaga mikro dan kecil termasuk dalam sektor informal.

“Data yang dikumpulkan menerusi BE 2026 seterusnya akan menjadi rujukan bagi pihak kementerian serta agensi berkaitan dalam membantu golongan ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap setiap pihak yang terlibat agar dapat bersama-sama menjayakan bancian tersebut dengan memberi maklumat sebaik mungkin supaya perancangan dan dapatan daripadanya dapat memberi impak yang baik kepada pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA