BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 1-1 KL City | Liga Super: NSFC 0-1 JDT | 

Indeks Utama Bursa Malaysia Pulih 0.27 Peratus Susulan Pembelian Saham Wajaran Tinggi

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia pulih daripada penurunan sebelum ini untuk ditutup pada paras tertinggi harian pada Rabu, memperoleh 0.27 peratus pada dagangan lewat apabila minat belian kembali kepada saham wajaran tinggi terpilih. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.48 mata kepada 1,676.83 berbanding 1,672.35 ketika ditutup pada Selasa. 

Indeks penanda aras dibuka 0.88 mata lebih rendah pada 1,671.47 dan kemudiannya mencecah paras rendah 1,665.94 pada sesi pertengahan pagi sebelum memperoleh momentum ke arah penutupan. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 565 berbanding 512, manakala 526 kaunter tidak berubah, 1,046 tidak diniagakan dan 10 kaunter digantung. 

Jumlah dagangan mengukuh kepada 2.73 bilion unit berjumlah RM2.76 bilion berbanding 2.66 bilion unit berjumlah RM2.76 bilion pada Selasa. 

Menurut peniaga, pelabur mengambil sikap berhati-hati berikutan perkemabngan geopolitik di Asia. 

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pelabur menggunakan pendekatan tunggu dan lihat, dan bukannya bertindak balas secara mendadak kepada tajuk berita geopolitik serantau, berikutan ketegangan antara China dan Jepun mengenai langkah perdagangan mengenai cip yang menambah premium risiko sederhana di seluruh Asia. 

Beliau berkata perkembangan itu tidak cukup serius untuk mencetuskan jualan meluas dalam ekuiti Malaysia, dengan pemacu dominan kekal dengan data makro Amerika Syarikat (AS).

Katanya, pasaran memberi tumpuan sama ada  laporan pekerjaan dan pekerjaan minggu ini akan menyokong jangkaan untuk sekurang-kurangnya dua penurunan kadar Rizab Persekutuan tahun ini. 

“Sehingga data itu mengesahkan mengenai tinjauan dasar, pelabur tempatan dilihat mengurangkan pendedahan dan melindungi keuntungan, mengekalkan FBM KLCI lebih rendah sedikit (sebelum ini) tetapi masih dalam julat dagangan baru-baru ini,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata corak aliran menaik jangka pertengahan kekal kukuh untuk bursa tempatan. 

“OLeh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan kami pada julat 1,660-1,690, sementara menunggu kemunculan pemangkin baharu,” tambahnya. 

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.53, CIMB mengukuh tujun sen kepada RM8.06, Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM13.70, Press Metal naik lima sen kepada RM7.11, Maybank susut dua sen kepada RM10.68, dan IHH Healthcare berkurang tujuh sen kepada RM8.58. 

Dalam kalangan saham paling aktif, SN Network melonjak 10 sen kepada 64.5 sen, Zetrix AI meningkat setengah sen kepada 81.5 sen, Tanco menambah satu sen kepada RM1.20, IJM mengukuh 20 sen kepada RM2.74, OCR tidak berubah pada 4.5 sen, dan Capital A merosot empat sen kepada 40.5 sen. 

Dalam kalangan kaunter paling untung, Nestle naik RM1.70 kepada RM122.0, BLD Plantation meningkat RM1.18 kepada RM15.80, United Plantations mengukuh 96 sen kepada RM31.44, dan Hong Leong Industries menambah 38 sen kepada RM16.66.

Dalam kalangan saham paling rugi, Hong Leong Financial Group susut 32 sen kepada RM18.96, Dutch Lady merosot 26 sen kepada RM30.62, Allianz Malaysia berkurang 22 sen kepada RM20.18 dan Kelington berkurang 21 sen kepada RM4.76.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 32.28 mata kepada 12,360.10, Indeks FBM Top 100 naik 32.32 mata kepada 12,151.95, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 37.16 mata kepada 12,166.75.

Indeks FBM Mid 70 meningkat 45.02 mata kepada 17,173.20 dan Indeks FBM ACE menambah 13.41 mata kepada 4,964.31.  

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.57 mata kepada 19,774.19, Indeks Tenaga menambah 2.37 mata kepada 769.65, Indeks Perladangan melonjak 106.83 mata kepada 8,397.94, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurang 0.09 mata kepada 172.46.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengukuh kepada 1.52 bilion unit berjumlah RM2.49 bilion berbanding 1.44 bilion unit berjumlah RM2.42 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 898.30 juta unit berjumlah RM115.32 juta berbanding 743.56 juta unit berjumlah RM101.86 juta semalam.  

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 312.54 juta unit berjumlah RM154.97 juta berbanding 480.04 juta unit berjumlah RM230.29 juta sebelumnya.  

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 275.17 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (278.12 juta), pembinaan (153.0 juta, teknologi (260.03 juta), perkhidmatan kewangan (95.50 juta), hartanah (155.42 juta), perladangan (22.97 juta), amanah pelaburan hartanah (23.26 juta), dana tertutup (115,800), tenaga (86.16 juta), penjagaan kesihatan (67.92 juta), telekomunikasi dan media (30.22 juta), pengangkutan dan logistik (43.97 juta), utiliti (25.51 juta), dan amanah perniagaan (210,600).

-- BERNAMA