BERITA TERKINI   Banjir di Sabah pulih sepenuhnya, pusat pemindahan terakhir di Beaufort ditutup 4 petang ini - JPBN | Inisiden letupan kompresor di sebuah universiti swasta, mangsa terlibat meningkat 10 orang termasuk seorang maut- Ketua Polis KL | Empat pelajar antara sembilan cedera dalam letupan kompresor di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara - Ketua Polis KL | Rapid Bus akan terima 250 bas elektrik termasuk 75 Rapid Penang dijangka tiba Mac ini - Loke | Bomba sahkan letupan akibat kebocoran gas penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, dua kakitangan cedera. | 

Bursa Lulus Pelan Regularisasi Iskandar Waterfront City

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Iskandar Waterfront City Bhd mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd berhubung cadangan pelan regularisasinya yang merangkumi cadangan penyelesaian hutang dan cadangan pengurangan modal, untuk membolehkannya keluar daripada status penerbit tersenarai yang terjejas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan pembinaan dan pemaju hartanah itu berkata kelulusan berkenaan merujuk kepada pengumuman syarikat bertarikh 20 Mac, 2025, 22 September, 2025 dan 23 September, 2025 berhubung cadangan pelan regularisasi.

Pada 10 Jun, 2022, lembaga pengarah mengumumkan syarikat itu merupakan penerbit tersenarai yang terjejas menurut Perenggan 8.03A(7)(b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities kerana perniagaan atau operasinya adalah tidak signifikan berikutan hasil yang disatukan mewakili kurang 5.0 peratus daripada modal sahamnya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan syarikat itu telah mencadangkan pelan regularisasi yang melibatkan penerbitan saham baharu untuk menyelesaikan hutang tertunggak, penempatan persendirian dan pengurangan modal bagi keluar daripada status penerbit tersenarai yang terjejas.

-- BERNAMA