BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Susulan Trend Meningkat Niaga Hadapan Serantau, Cuaca Lembap

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad dan Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh aliran meningkat serantau di pasaran niaga hadapan getah, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran turut meningkat berikutan kebimbangan mengenai pengurangan bahan mentah di negara pengeluar getah asli utama disebabkan cuaca lembap dan data ekonomi China yang positif.

Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dihadkan oleh penyusutan harga minyak mentah dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS.

"Niaga hadapan getah Jepun meneruskan kenaikan untuk sesi ke-10 berturut-turut pada Selasa, disokong oleh kelemahan yen dan kebimbangan mengenai potensi gangguan pengeluaran di Thailand," katanya kepada Bernama.

Menurut peniaga itu, agensi meteorologi Thailand telah memberi amaran mengenai ribut petir yang akan berlaku di beberapa kawasan tertentu di kawasan pengeluar getah selatan bermula 6 hingga 9 Januari.

Di peringkat global, harga minyak menyusut memandangkan ketidaktentuan pasaran yang reda selepas peniaga menilai laporan mengenai penahanan Presiden Venezuela oleh Amerika Syarikat (AS), katanya.

Beliau berkata sektor pembuatan AS terus menyusut untuk bulan ke-10 berturut-turut, dengan tekanan berkaitan tarif masih membebankan sektor berkenaan.

“Institut Pengurusan Bekalan (ISM) melaporkan bahawa Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan AS lebih rendah daripada jangkaan pada paras 47.9, menyusut daripada unjuran 48.3, yang menandakan kemungkinan bahawa dolar AS lemah,” katanya.

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 4.0 sen kepada 760 sen sekilogram  manakala susu getah pukal naik satu sen kepada 578 sen sekilogram.

-- BERNAMA