BERITA TERKINI   AirBorneo rancang lancarkan penerbangan permulaan dari Kuching ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pada Julai - CEO Megat Ardian | Tambang penerbangan AirBorneo buat masa ini tidak berubah walaupun harga bahan api global meningkat - CEO Megat Ardian | AirBorneo rancang lancar operasi jet serantau dari Kuching menggunakan tiga pesawat Boeing 737-800 pada Julai - CEO Megat Ardian | Anak syarikat Aneka Jaringan peroleh kontrak Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu daripada IJM Construction bernilai RM82.8 juta | Pharmaniaga akan keluar daripada status PN17 bermula 9 pagi, 17 Mac 2026 - Bursa Malaysia | 

SC Dakwa Bekas CEO Khee San Bhd Sebabkan Kerugian Salah Berjumlah RM7.12 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Khee San Bhd (KSB) Datuk Seri Liew Yew Chung atas kerugian salah berjumlah RM7.12 juta ke atas anak syarikat KSB, Khee San Food Industries Sdn Bhd (KSFI).

Dalam satu kenyataan, SC berkata Liew berdepan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana membatalkan 25 perjanjian pinjaman yang diberikan oleh KSFI kepada 11 individu, dengan niat menyebabkan kerugian salah kepada KSFI.

Kesalahan berkenaan berlaku pada 2019 di Seri Kembangan, Selangor, menurut kenyataan itu.

“Jika disabit kesalahan, Liew berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun, serta denda maksimum RM10 juta,” katanya.

Liew mengaku tidak bersalah ke atas semua 11 pertuduhan di dua mahkamah berasingan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM160,000.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus membenarkan Liew diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan dua penjamin tempatan, dan diarahkan melapor kepada pegawai penyiasat SC di pejabat SC dua bulan sekali sebagai syarat tambahan ikat jamin.

Liew turut dibenarkan diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin tempatan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail, dan juga dikenakan syarat melapor dua bulan sekali.

“SC tidak memohon supaya pasport Liew diserahkan kerana ia telah diserahkan kepada mahkamah dalam satu kes berasingan pada Mei 2025,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA