BERITA TERKINI   Prestasi pengukuhan ringgit antara faktor bantu turunkan kos import barangan -- Amir Hamzah | Pengukuhan nilai ringgit tidak jejas prestasi eksport negara -- Amir Hamzah | 24,761 calon menduduki UPKK 2025 catat keputusan cemerlang A dalam semua sembilan mata pelajaran - Zulkifli | Bekas ADUN Banting Fatimah Suhaimi, 84, meninggal dunia 4 pagi tadi kerana sakit tua - Anak | Komander AKPS Bukit Kayu Hitam selamat dalam kejadian tembakan berhampiran sempadan Malaysia-Thai - KP Kedah | 

Ringgit Ditutup Rendah Ketika Ketidaktentuan Geopolitik Selepas Serangan Ke Atas Venezuela

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan pasaran beralih kepada mata wang selamat dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik yang meningkat susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Venezuela pada akhir minggu lepas, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.0695/0745 berbanding dolar AS daripada 4.0515/0560 semasa ditutup pada Jumaat.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata situasi di Venezuela telah merangsang permintaan terhadap aset rizab mudah tunai terutama dolar AS.

"Pergerakan itu diperkukuhkan lagi dengan momentum pertumbuhan AS yang mantap, yang telah menyebabkan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah di AS ditangguhkan dan mengekalkan perbezaan hasil yang menyokong dolar AS.

“Sehubungan itu, mata wang negara pesat membangun termasuk ringgit menghadapi tekanan jangka pendek meskipun asas domestik adalah stabil," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.5932/5965 daripada 2.5817/5848 Jumaat lepas, rendah berbanding pound Britain kepada 5.4706/4774 daripada 5.4509/4569, dan merosot berbanding euro kepada 4.7540/7598 daripada 4.7488/7540 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 243.0/243.5 daripada 242.2/242.6, dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1603/1644 daripada 3.1502/1540.

Ia menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.9891/13.0109 daripada 12.8996/9201, dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.88/6.90 daripada 6.88/6.89 sebelumnya.

-- BERNAMA