Pasaran Getah Ditutup Lebih Rendah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah pada hari pertama urus niaga tahun 2026 di tengah-tengah jumlah dagangan yang perlahan berikutan penutupan pasaran niaga hadapan getah Jepun dan Shanghai, kata seorang peniaga.
Beliau seterusnya berkata prospek ekonomi China kekal tidak menentu, terutamanya ketika negara itu bergelut dengan disinflasi yang stabil dan perbelanjaan swasta yang lemah.
“Penimbangan kepada sentimen pasaran ialah dasar China yang boleh menjejaskan jualan kereta, prospek ekonomi China yang tidak menentu dan pendirian yang berbelah bahagi dalam kalangan penggubal dasar mengenai dasar monetari Amerika Syarikat (AS).
“Minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS menunjukkan jawatankuasa dilihat agak berbelah bahagi, dengan kebanyakan penggubal dasar menyokong penurunan kadar selanjutnya jika inflasi berterusan, tetapi ada segelintirnya yang lebih suka mengekalkan kadar yang stabil,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya, penurunan selanjutnya dihadkan oleh pemulihan dalam data ekonomi China, dasar ekonomi China yang menyokong permintaan dan prestasi pembuatan yang lebih baik di seluruh Asia.
“Sentimen turut disokong oleh kebimbangan mengenai bekalan getah, pemulihan harga minyak mentah dan kelemahan berterusan ringgit berbanding dolar AS,” tambahnya.
Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 susut 10.5 sen kepada 743.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot satu sen kepada 575 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur kembali beroperasi hari ini selepas ditutup pada Rabu, 31 Dis, 2025 hingga Khamis, 1 Jan, 2026 sempena sambutan Tahun Baharu.
-- BERNAMA