Aktiviti Ambil Untung Asak Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah ketika mengakhiri sesi pagi hari dagangan pertama 2026, ditekan aktiviti pengambilan untung berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih susulan kenaikan sebelum ini selain kekurangan pemangkin baharu.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.36 mata atau 0.68 peratus kepada 1,668.75 daripada paras 1,680.11 pada akhir dagangan Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 4.91 mata pada 1,675.20 dan mencatat paras terendah harian pada 1,667.20 pada lewat sesi dagangan pagi ini.

Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 516 berbanding 348 manakala 475 kaunter tidak berubah, 1,316 tidak diniagakan dan 18 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan mencecah 1.04 bilion unit bernilai RM758.02 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya menjangkakan FBM KLCI berkemungkinan menyaksikan pengambilan untung hari ini selepas aliran kenaikan akhir tahun baru-baru ini.

Namun, pada masa sama, firma pembrokeran itu memihak prospek saham perbankan berikutan dividen yang menarik.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank rugi enam sen kepada RM10.42 manakala CIMB turun 15 sen kepada RM8.10, Public Bank rugi empat sen kepada RM4.50, Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM13.78 manakala IHH Healthcare merosot 14 sen kepada RM8.61.

Saham paling aktif menyaksikan Zetrix turun setengah sen kepada 80.5 sen, Tanco naik dua sen kepada RM1.18, Pharmaniaga susut setengah sen kepada 28 sen manakala Avangaad tidak berubah pada 32 sen.

Kaunter paling untung didahului Petronas Gas yang menokok 16 sen kepada RM18.30, Hong Leong Bank naik 14 sen kepada RM22.28 manakala Malayan Cement dan Dutch Lady masing-masing menambah 12 sen kepada RM7.78 dan RM31.12.

Sebaliknya, saham dengan kerugian ketara adalah MPI yang susut  86 sen kepada RM31.38, PPB turun 40 sen kepada RM10.66, F&N berkurangan 50 sen kepada RM35.00, Hong Leong Industries kehilangan 32 sen kepada RM16.46 manakala Telekom Malaysia menguncup 15 sen kepada RM7.90.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas susut 52.82 mata kepada 12,250.85, Indeks FBM Top 100 merosot 54.39 mata kepada 12,053.02 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 37.83 mata kepada 12,058.46.

Indeks FBM Mid 70 pula meningkat 48.40 mata kepada 16,851.79 manakala Indeks FBM ACE naik 4.84 mata kepada 4,877.79.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 116.54 mata kepada 19,586.81, Indeks Tenaga meningkat 4.44 mata kepada 771.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.35 mata kepada 172.27 manakala Indeks Perladangan merosot 49.12 mata kepada 8,275.77.

-- BERNAMA