Bursa Malaysia Rendah Pada Sesi Awal Seiring Wall Street, Tiada Pemangkin Baharu
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan urus niaga 2026 dengan lebih rendah, menjejaki kesuraman Wall Street serta di tengah-tengah sentimen berhati-hati berikutan tiada pemangkin baharu.
Pada jam 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.69 mata atau 0.70 peratus kepada 1,668.42 daripada penutupan Rabu pada 1,680.11 selepas dibuka turun 4.91 mata pada paras 1,675.20.
Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya ditutup semalam sempena cuti Tahun Baharu.
Pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 165 berbanding 75 manakala 237 kaunter tidak berubah, 2,179 tidak diniagakan dan 18 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan mencecah 64.99 juta saham bernilai RM35.60 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah pada Rabu susulan aktiviti pengambilan untung menjelang akhir tahun.
Selain itu di peringkat domestik, FBM KLCI terus berpotensi mendapat manfaat daripada sokongan belian institusi tempatan berdasarkan trend terkini, walaupun berlaku aliran keluar bersih pelabur asing daripada bursa tempatan.
“Berikutan itu, kami percaya pasaran saham tempatan di kedudukan baik untuk mencatat kenaikan selanjutnya berikutan imbangan semula dana asing yang masih berterusan. Bagi hari ini misalnya, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,675 hingga 1,690,” katanya kepada Bernama.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM10.42, CIMB turun 15 sen kepada RM8.10, Public Bank rugi tujuh sen kepada RM4.47, Tenaga Nasional kehilangan empat sen kepada RM13.68 dan IHH Healthcare merosot 10 sen kepada RM8.65.
Saham paling aktif menyaksikan TWL, Velesto, Reservoir Link dan Bina Puri masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, 27.5 sen, 21 sen and 29.5 sen manakala Mega Fortis naik setengah sen kepada 89.5 sen.
Kaunter paling untung didahului oleh Dutch Lady yang naik 30 sen kepada RM31.30, United Plantations menambah enam sen kepada RM30.12, CJ Century meraih 3.5 sen kepada 19 sen, Hap Seng menokok tiga sen kepada RM2.20 dan BM Greentech menokok dua sen kepada RM1.47
Sebaliknya, kaunter paling rugi adalah MPI yang susut 38 sen kepada RM31.86, SD Guthrie turun 10 sen kepada RM5.63, Atlan Holdings kehilangan lapan sen kepada RM2.93 manakala Sime Darby berkurangan tujuh sen kepada RM2.08.
Selain itu, Indeks FBM Emas susut 63.43 mata kepada 12,240.24, Indeks FBM Top 100 kehilangan 70.32 mata kepada 12,037.09 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 41.36 mata kepada 12,054.93.
Indeks FBM Mid 70 pula kehilangan 34.86 mata kepada 16,768.535 manakala Indeks FBM ACE menguncup 0.24 mata kepada 4,872.71.
Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 149.98 mata kepada 19,553.37, Indeks Tenaga susut 0.42 mata kepada 766.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.15 mata kepada 173.47 dan Indeks Perladangan berkurangan 35.31 mata kepada 8,289.58.
-- BERNAMA