Inflasi Malaysia Dijangka Kekal Rendah, Stabil - MBSB IB
KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Inflasi Malaysia dijangka kekal rendah dan stabil di masa depan walaupun perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkemungkinan mendorong kenaikan yang sederhana, demikian menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Keadaan itu boleh diimbangi dengan faktor seperti penerusan subsidi bahan api RON95, ringgit yang kukuh dan penurunan harga makanan di peringkat global, katanya.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu turut mengingatkan potensi peningkatan risiko terhadap inflasi mungkin timbul daripada pengecualian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada subsidi bersasar bahan api BUDI95 berikutan kos bahan api lebih tinggi berkemungkinan dilepaskan kepada harga pengguna.
Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia susut sebanyak 1.8 peratus pada November 2025 daripada 0.1 peratus pada Oktober 2025 yang juga penurunan paling ketara sejak Ogos 2025 dan sekali gus menunjukkan aliran deflasi bagi tempoh sembilan bulan berturut-turut.
MBSB IB juga menyifatkan penurunan itu dipaparkan oleh penurunan ketara harga dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 9.7 peratus tahun ke tahun, disebabkan oleh penyusutan harga bagi ineks penanaman tanaman malar (tumbuh sepanjang tahun) sebanyak 16.2 peratus tahun ke tahun.
Selain itu, deflasi IHPR dalam sektor perlombongan juga turun lebih ketara sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh kejatuhan indeks pengekstrakan petroleum mentah sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun dan gas asli sebanyak 11.4 peratus
-- BERNAMA