BERITA TERKINI   Senarai nama calon Ketua Pesuruhjaya SPRM telah dipersembah kepada Agong hari ini - PM Anwar | Inisiatif Rumah Bangsa tarik lebih 10,000 ahli baharu dengan lebih 6,000 merupakan pemuda - Ahmad Maslan | Polis Johor tumpaskan sindiket dadah dengan nilai rampasan dan sitaan RM1.95 juta, tahan empat individu - Ketua Polis Johor  | Isu hutang jadi motif kepada insiden tembakan yang mengorbankan tiga individu di Kota Tinggi - Ketua Polis Johor | Kutipan cukai langsung LHDN cecah RM203.9 bilion pada 2025, julung kali melepasi paras RM200 bilion - PM Anwar | 

Maxis Umum Perkhidmatan Pulih Sepenuhnya Susulan Kebakaran Menara Di Kuala Kangsar

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Maxis Bhd (Maxis) memaklumkan perkhidmatannya pulih sepenuhnya bagi pelanggan yang terjejas susulan kebakaran di tapak menara telekomunikasi di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak pada 27 Dis, 2025.

Syarikat itu berkata, perkhidmatan telekomunikasi dipulihkan secara berperingkat dan pulih sepenuhnya pada 1:03 pagi, 29 Dis, 2025.

Katanya, ini merangkumi semua perkhidmatan yang dikongsi melalui pengaturan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN).

"Setelah mengesahkan struktur menara kekal kukuh, pasukan teknikal kami segera menggantikan peralatan radio yang rosak.

"Langkah ini memulihkan sambungan ke tapak yang terjejas serta empat tapak lain yang berhubung dengannya sekali gus menyelesaikan gangguan perkhidmatan bagi kira-kira 3,000 pelanggan di kawasan sekitar dan pengguna lebuh raya," kata Maxis.

Syarikat pengendali telekomunikasi itu memberitahu pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa bagi menyiasat punca kebakaran berkenaan.

Maxis juga mengambil maklum kenyataan berhubung insiden ini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 28 Dis, 2025 serta menegaskan semula komitmen syarikat untuk mengekalkan piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian yang tertinggi.

"Kami akan terus mematuhi protokol penyelenggaraan yang ketat serta menjalankan pemeriksaan teknikal secara berkala selain memastikan pemantauan berterusan terhadap infrastruktur rangkaian kami," katanya.

-- BERNAMA