Perdagangan Malaysia, AS Meningkat Kepada RM325.2 Bilion Pada 2024, Dipacu Eksport E&E

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) meningkat 30.0 peratus kepada RM325.2 bilion pada 2024 meskipun berdepan dengan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan global, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Eksport dan import masing-masing berkembang 23.3 peratus dan 42.1 peratus kepada RM198.9 bilion dan RM126.3 bilion, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap eksport Malaysia ke AS pada 2024.

Ketua Perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai tonggak utama perdagangan Malaysia dengan AS, menyumbang 60.4 peratus daripada jumlah nilai eksport pada 2024.

"Semikonduktor merupakan penyumbang utama (46.8 peratus), perkakas telekomunikasi, rakaman suara dan pengeluaran semula (19.4 peratus), jentera, perkakas dan peralatan elektrik dan alat ganti (17.0 peratus) dan mesin pejabat serta peralatan pemprosesan data automatik (16.9 peratus)," katanya dalam Malaysia Trade Statistics Review (MTSR) 2025.

MTSR 2025 menganalisis prestasi perdagangan Malaysia dengan AS merangkumi lima kategori produk utama, terutamanya E&E, barangan optik dan saintifik, jentera, kelengkapan dan peralatan, produk getah dan produk perkayuan.

Eksport Malaysia bagi peralatan optik dan saintifik ke AS mencapai nilai tertinggi iaitu RM12.9 bilion, meningkat 14.3 peratus pada 2024.

Sumbangan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat adalah paling tinggi berbanding negara lain iaitu 21.8 peratus.

Dr Mohd Uzir berkata produk jentera, kelengkapan dan peralatan adalah antara eksport utama Malaysia ke AS pada 2024, menyumbang 12.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia bagi produk jentera, kelengkapan dan peralatan. Nilainya meningkat 33.6 peratus kepada RM8.8 bilion pada 2024 berbanding RM6.6 bilion pada 2023.

Sementara itu, beliau berkata produk getah menunjukkan trend menaik yang kukuh dalam kedudukan eksport utama Malaysia ke AS, meningkat kepada RM7.4 bilion pada 2024, manakala produk perkayuan mengekalkan prestasi eksport yang stabil ke AS, meningkat kembali kepada RM6.0 bilion pada 2024.

Malaysia buat julung kalinya telah menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain. Pencapaian ini merupakan lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.

-- BERNAMA