BERITA TERKINI   Liga Super: Selangor FC 3-0 Melaka FC | Pelantikan MB Perlis baharu diharap dapat hentikan segala tohmahan, spekulasi dan tuduhan - Raja Perlis | Pelantikan MB Perlis baharu diharap dapat hentikan segala tomahan, spekulasi dan tuduhan - Raja Perlis | Semua ADUN PN di Perlis dititah kembali bersatu demi kepentingan rakyat dan negeri - Raja Perlis | Semua ADUN PN di Perlis dititah kembali bersatu demi kepentingan rakyat dan negeri - Sultan Perlis | 

Nilai Eksport Negara Catat RM1.45 Trilion Setakat November Tahun Ini - Pengerusi MATRADE

KEPALA BATAS, 28 Dis (Bernama) -- Malaysia mencatatkan nilai eksport negara mencecah RM1.45 trilion bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, manakala jumlah dagangan keseluruhan mencapai RM2.77 trilion bagi tempoh sama.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pencapaian itu menandakan tahun kelima berturut-turut Malaysia berjaya memecahkan angka dagangan pada paras trilion, sekali gus meletakkan negara pada landasan untuk mencatat rekod baharu bagi keseluruhan tahun.

"Jika dibandingkan bagi tempoh Januari hingga November tahun ini dengan tempoh sama tahun lepas, eksport meningkat hampir 6.1 peratus, dagangan naik 5.8 peratus, manakala import meningkat sekitar 5.6 peratus.

"Selain itu, lebihan dagangan negara pula merekod sebanyak RM132.5 bilion bagi tempoh sama, turut meningkat sebanyak 10.7 peratus, mencerminkan prestasi perdagangan luar yang kukuh," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata demikian ketika ditemui selepas Program Khatan @ Hotel anjuran Pusat Khidmat ADUN Bertam dan UMNO Kepala Batas di sini.

Reezal Merican berkata peningkatan eksport banyak didorong oleh permintaan tinggi terhadap produk semikonduktor yang mencatat pertumbuhan 17.5 peratus, farmaseutikal sebanyak 22.9 peratus serta produk optikal dan saintifik pula meningkat sekitar 10 peratus.

Dari segi pasaran utama, negara Asia kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia, diikuti Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Hong Kong dengan lima pasaran utama itu menyumbang hampir 68.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.

Sementara itu, perdagangan dengan negara-negara yang mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.2 peratus, merangkumi kira-kira 66.8 peratus nilai eksport termasuk Mexico, Hong Kong, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Chile, United Kingdom dan Kanada.

"Lebih memberangsangkan adalah peningkatan ketara eksport ke pasaran baharu khususnya di Afrika dan Asia Tengah.

“Negara seperti Yaman mencatatkan peningkatan 62 peratus, Tanzania (37 peratus), Togo (30 peratus), Uzbekistan (23 peratus), Kenya (12 peratus), Nigeria (15 peratus) dan Algeria sebanyak 24 peratus,” katanya.

Reezal berkata lawatan rasmi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara Afrika dan Asia Tengah turut memberi kesan positif kepada prestasi perdagangan dengan negara-negara yang dilawati itu, mencatatkan pertumbuhan dagangan sebanyak dua digit.

Beliau turut optimis Malaysia akan mencatat nilai eksport dan dagangan tertinggi dalam sejarah apabila angka penuh prestasi tahun ini diumumkan pada 19 Januari, tahun depan (2026), tarikh sebelum MATRADE mengadakan Majlis Pengumuman Prestasi Dagangan Malaysia 2025 pada 27 Januari, 2026.

"Saya menjangkakan tahun ini akan mencatatkan "another record setting" (satu lagi pencapaian terbaik), maknanya kita agak optimis bahawa eksport akan mencatatkan bukan hanya memecah trillion, eksport yang tertinggi angka dalam sejarah Malaysia, kalau tahun lepas RM1.51 trilion...paling tinggi dulu adalah RM1.55 trillion direkodkan pada 2022.

"Sekarang dah RM1.45 trillion dan kalau tambah lagi RM100 bilion untuk bulan ini dah jadi RM 1.55 trilion atau RM1.56 trilion, ia sudah melepasi paras tertinggi, sama juga dengan dagangan berjumlah RM2.77 trillion. Saya menjangkakan angka ini adalah angka yang bakal menyaksikan record setting, angka tahun ini akan diketahui pada 19 Jan nanti," katanya.

-- BERNAMA