Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Pengambilan Untung
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit hari ini susulan aktiviti pengambilan untung mengakhiri rentetan kenaikannya selama lima hari dagangan.
Rabu lepas, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras tertinggi hampir 16 bulan, ditutup pada 1,678.31.
Pada 5 petang, indeks barometer jatuh 1.21 mata, atau 0.07 peratus, kepada 1,677.10, selepas dibuka 0.81 mata lebih lemah pada 1,677.50.
Indeks penanda aras didagangkan dalam jajaran kecil antara 1,670.83 dan 1,678.29 sepanjang hari ini.
Keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 504 berbanding 377, manakala 567 kaunter tidak berubah, 1,326 tidak diniagakan dan 60 digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 1.59 bilion unit bernilai RM1.29 bilion daripada 2.04 bilion unit dengan nilai RM1.70 bilion seperti yang dicatatkan pada Rabu lepas.
Pasaran ditutup semalam sempena Hari Krismas.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berpendapat bahawa minggu dagangan yang lebih pendek berikutan Krismas dan cuti akhir tahun mencetuskan beberapa pengambilan untung, manakala jumlah dagangan di Bursa Malaysia susut kepada hanya 1.59 bilion unit, jauh di bawah purata harian biasa iaitu sekitar 3.0 bilion.
Walaupun indeks kurang bermaya pada awal sesi, merosot hampir tujuh mata, minat belian muncul menjelang penutupan, membolehkan pasaran memulihkan sebahagian besar kerugiannya.
“Daya tahan urus niaga harian ini menunjukkan bahawa permintaan asas kekal utuh walaupun berlaku kecairan nipis susulan hari cuti.
“FBM KLCI kekal lebih tinggi pada kira-kira 4.5 peratus dari bulan ke tarikh terkini, dan pemulihan daripada kerugian yang sederhana ini boleh ditafsirkan sebagai penyatuan teknikal berikutan rali yang kukuh dan bukannya kemerosotan dalam persekitaran pasaran asas,” katanya kepada Bernama.
Di kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing susut lapan sen kepada RM10.40 serta 8.59, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.52. CIMB naik empat sen kepada RM8.15 dan Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM13.66.
Dalam senarai paling aktif, Bina Puri, Velesto dan Borneo Oil masing-masing menokok setengah sen kepada 30 sen, 28 sen serta satu sen. Tanco melonjak dua sen kepada RM1.13 manakala Zetrix AI turun setengah sen kepada 81.5 sen.
Bagi kaunter untung tertinggi, Malayan Cement merekodkan keuntungan sebanyak 29 sen kepada RM7.63, Hume Cement meningkat 20 sen kepada RM3.35, Malayan Pacific Industries dan Hong Leong Bank mencatatkan penambahan sebanyak 18 sen kepada RM32.60 dan RM22.42, manakala Allianz naik 14 sen kepada RM20.34.
Saham-saham paling rugi pula menyaksikan BLD Plantation susut 88 sen kepada RM14.42, Ideal Capital turun 25 sen kepada RM3.40, PLB dan Panasonic masing-masing melemah sebanyak 20 sen kepada 80 sen serta RM7.0, manakala Bintulu Port jatuh 15 sen kepada RM5.35.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 17.77 mata kepada 12,288.14, Indeks FBM Top 100 berkurangan 16.87 mata kepada 12,090.67, Indeks FBM Emas Shariah turun 29.02 mata kepada 12,105.61 dan Indeks FBM melemah 59.94 mata kepada 16,802.57.
Indeks ACE FBM meningkat 31.62 mata kepada 4,859.79.
Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan mencatatkan kenaikan 4.39 mata kepada 19,628.38, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.02 mata kepada 174.03 serta Indeks Perladangan bertambah sejumlah 20.60 mata kepada 8,299.52, manakala Indeks Tenaga susut 0.91 mata kepada 765.77.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.03 bilion unit bernilai RM1.17 bilion daripada 1.15 bilion unit bernilai RM1.55 bilion pada Rabu lepas.
Jumlah perolehan waran merosot kepada 334.97 juta unit bernilai RM27.61 juta berbanding 637.43 juta unit bernilai RM47.11 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melembap kepada 224.49 juta unit bernilai RM87.30 juta daripada 250.65 juta unit bernilai RM95.02 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 146.39 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (197.02 juta), pembinaan (143.24 juta), teknologi (154.52 juta), perkhidmatan kewangan (39.12 juta), hartanah (104.23 juta), perladangan (14.22 juta), amanah pelaburan hartanah (7.16 juta), dana tertutup (2,800), tenaga (88.29 juta), penjagaan kesihatan (54.44 juta), telekomunikasi dan media (33.98 juta), pengangkutan dan logistik (35.37 juta), utiliti (14.76 juta) serta amanah perniagaan (59,700).
-- BERNAMA