Pelarasan Tarif Asas Kemudahan Gas RP3 Tidak Jadikan Harga Gas Keseluruhan Lebih Tinggi - FMM
KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Pelarasan tarif asas kemudahan gas bagi Tempoh Kawal Selia Ketiga (RP3) dari Januari 2026 hingga Disember 2028 tidak menyebabkan peningkatan harga gas keseluruhan kepada pengguna akhir dalam tempoh terdekat, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Presidennya Jacob Lee Chor Kok berkata FMM mengiktiraf penetapan tarif asas bagi perkhidmatan kemudahan gas termasuk saluran paip penghantaran dan pengagihan (T&D) dibuat mengikut proses kawal selia yang sewajarnya selain mengambil kira impak terhadap pihak berkepentingan merentasi sektor tenaga dan bukan tenaga.
Pelarasan tarif asas kemudahan gas bagi RP3 dari Januari 2026 hingga Disember 2028 dijangka meningkat sebanyak 16.7 peratus, khususnya bagi kemudahan T&D manakala tarif dibenarkan (pelarasan setiap tahun) bagi tempoh Januari 2026 hingga Disember 2026 dijangka meningkat sebanyak 26.7 peratus.
FMM turut mengalu-alukan mekanisme yang telus dan berstruktur di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi penentuan tarif asas kemudahan gas yang disemak setiap tiga tahun oleh Suruhanjaya Tenaga dan diluluskan oleh kerajaan.
“Berdasarkan unjuran semasa, jumlah harga gas yang perlu dibayar oleh pengguna akhir termasuk pelanggan industri pada suku pertama 2026 dijangka lebih rendah berbanding suku keempat 2025. Ini kerana tarif kemudahan gas yang dikawal selia hanya merangkumi kira-kira lapan peratus daripada jumlah harga gas yang dibayar oleh pengguna.
“Sebaliknya, harga molekul gas merangkumi lebih 90 peratus daripada harga gas kepada pengguna akhir dan ditanda aras kepada Harga Rujukan Malaysia (MRP) yang dipengaruhi oleh keadaan pasaran antarabangsa serta dinamik penawaran dan permintaan,” kata Lee.
Presiden FMM itu berkata dengan harga molekul gas yang diunjurkan lebih rendah pada suku pertama 2026, harga gas keseluruhan dijangka menurun sekali gus menghasilkan anggaran penjimatan kira-kira 1.97 peratus bagi pengguna akhir di saluran paip pengagihan (sektor bukan tenaga) dan 3.75 peratus bagi pengguna akhir di saluran paip penghantaran (sektor tenaga).
Lee berkata penjimatan bagi sektor tenaga ini juga akan dikumpulkan dan disalurkan kepada pengguna elektrik melalui mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA).
Beliau menambah bagi tempoh seterusnya, harga gas kepada pengguna akhir pada 2027 termasuk tarif kemudahan juga diunjurkan kekal lebih rendah berbanding paras 2025 walaupun lebih 90 peratus daripada harga yang dibayar oleh pengguna ditentukan berdasarkan prinsip transaksi pasaran bebas.
Bagaimanapun, Lee juga menekankan kebimbangan industri mengenai kemungkinan ketidaktentuan yang berlaku pada masa hadapan.
Beliau berkata sekiranya harga molekul gas meningkat dengan ketara akibat perkembangan pasaran global, kesan kos keseluruhan ke atas industri boleh menjadi besar memandangkan bahagian harga molekul yang dominan dalam struktur harga gas keseluruhan.
“FMM juga mengambil maklum penjelasan Suruhanjaya Tenaga sewaktu sesi pertemuan dengan pihak berkepentingan baru-baru ini iaitu walaupun terdapat pengurangan perbelanjaan modal bagi pengendali kemudahan selain kenaikan tarif kemudahan, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan operasi.
“Ini termasuk kos yang berkaitan dengan inisiatif pendigitalan seperti peningkatan sistem meter serta pengurangan aliran gas akibat permintaan yang lebih rendah daripada beberapa sektor termasuk industri sarung tangan getah yang mengakibatkan kapasiti saluran paip kurang digunakan,” katanya.
Dalam hal ini, Lee berkata FMM berharap Suruhanjaya Tenaga akan terus memastikan disiplin kawal selia yang kukuh termasuk mengelakkan sebarang pemulihan kos yang berlebihan.
Katanya, FMM juga akan menegakkan prinsip pengagihan kos yang adil dan saksama dalam kalangan semua pengguna saluran paip terutamanya melalui tarif dibenarkan yang diselaraskan setiap tahun.
“FMM juga menekankan keperluan sesi pertemuan dengan pihak berkepentingan diadakan pada peringkat awal proses penentuan tarif bagi membolehkan rundingan yang bermakna dan input berinformasi daripada pihak berkepentingan.
“Jaminan sedemikian penting bagi mengekalkan keyakinan industri, daya saing kos dan kelestarian jangka panjang ekosistem bekalan gas Malaysia,” tambahnya.
-- BERNAMA