Komitmen Kerajaan MADANI Pastikan Setiap Pelaburan Beri Pulangan Kepada Rakyat - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa komitmen Kerajaan MADANI adalah memastikan setiap pelaburan memberi pulangan yang bermakna kepada rakyat, hari ini serta masa depan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan ​yang dibawa masuk oleh Kerajaan MADANI bukan sekadar memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi turut diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat.

"Ia mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup serta membina kuasa ekonomi baharu yang lebih berdaya saing dan inklusif," kata Anwar menerusi catatan di laman rasmi Facebook beliau, malam ini.

Perdana Menteri turut berkongsi beberapa infografik yang memaparkan prestasi pelaburan negara bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025.

Ini termasuk infografik bahawa Malaysia terus unggul dengan mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM285.2 billion bagi tempoh Januari hingga September 2025 yang melonjak 13.2 peratus dan melepasi semua rekod pencapaian pra-COVID (2006-2020).

Selain itu, di bawah tajuk kecil “Keyakinan Global : Gergasi Ekonomi Memilih Malaysia” pula memaparkan maklumat mengenai tujuh misi pelaburan bagi tempoh sama yang menjana potensi RM24.5 billion.

Turut dipaparkan adalah sumbangan sektor bernilai tinggi memacu masa depan dengan menyumbang sejumlah RM137.9 billion atau 48.4 peratus daripada jumlah pelaburan.

-- BERNAMA