BERITA TERKINI   India sokong peranan Malaysia sebagai negara rakan BRICS, aspirasi jadi anggota BRICS - Kenyataan Bersama | Malaysia sambut baik India sebagai Pengerusi BRICS 2026 - Kenyataan Bersama | PM Anwar, Modi saksi pertukaran 11 MoU antara Malaysia dan India | Perdagangan dua hala Malaysia-India dijangka melepasi AS$18.59 bilion, dicatatkan tahun lepas - PM Anwar | Malaysia, dalam konteks ASEAN, pasti dapat manfaat besar sekiranya rantau ini dapat memperoleh lebih banyak cara dan peluang untuk bekerjasama dengan India - PM Anwar | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Susulan Kestabilan Harga Minyak Mentah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin, didorong oleh harga minyak mentah yang stabil dan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan getah asli akibat cuaca buruk di negara pengeluar utama iaitu Thailand, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran disokong lagi oleh jangkaan Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) mengenai peningkatan permintaan pada 2025 dan keputusan bank pusat China untuk mengekalkan kadar faedah utamanya dan memperkenalkan langkah monetari untuk meningkatkan ekonomi.

Dilaporkan bahawa permintaan getah asli global diunjur naik 0.8 peratus pada 2025, disokong oleh penggunaan Indonesia, manakala pengeluaran dijangka berkembang 1.3 peratus.

"Bagaimanapun, keuntungan dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh sedikit, trend bercampur-campur dalam niaga hadapan getah serantau dan ketegangan geopolitik baharu di Timur Tengah," katanya kepada Bernama.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 8.0 sen kepada 731 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 2.0 sen kepada 577 sen sekilogram.

-- BERNAMA