Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kenaikan Minyak Kacang Soya, Minyak Mentah
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh kenaikan dalam pasaran minyak kacang soya.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih kukuh turut meningkatkan sentimen pasaran.
"Kami melihat paras sokongan pada RM3,900 dan paras rintangan pada RM4,050," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak Disember 2025 naik RM9 kepada RM3,960 setiap tan, Januari 2026 meningkat RM10 kepada RM3,974 dan Februari 2026 bertambah RM14 kepada RM3,990.
Kontrak Mac 2026 melonjak RM17 kepada RM3,987 setiap tan manakala April 2026 menokok RM16 kepada RM3,987 dan Mei 2026 berkembang RM16 kepada RM3,979 setiap tan.
Jumlah dagangan menurun kepada 70,597 lot daripada 80,639 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 271,603 kontrak daripada 270,189 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk Disember Selatan naik RM20 kepada RM4,000 setiap tan.
-- BERNAMA