BERITA TERKINI   Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | Kerja SPRM adalah kembalikan wang rakyat yang diseleweng, MOF tentukan bagaimana wang tersebut disalurkan semula - Azam Baki | 

MATRADE Yakin Johari Sebagai Teraju Baharu MITI Terus Perkukuh Agenda Eksport Negara

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yakin kepimpinan baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memperkukuh agenda eksport negara seiring dengan keutamaan pembangunan ekonomi Malaysia.

Pengerusi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri baharu berkuat kuasa hari ini akan memberi sokongan padu kepada inisiatif promosi eksport serta pembangunan pengeksport yang diterajui MATRADE.

“Pengalaman luas Johari dengan latar belakang profesional yang kukuh dalam bidang kewangan, perakaunan, pengauditan, dan hal-ehwal korporat merupakan kriteria penting dalam menyokong pembangunan ekonomi, khususnya dalam merangka dan melaksanakan dasar berkaitan pelaburan, perdagangan dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MATRADE, Johari pernah memegang beberapa jawatan penting Kabinet merangkumi Timbalan Menteri Kewangan (2015-2016), Menteri Kewangan II (2016-2018) serta Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023.

“Pengalaman itu amat signifikan dalam merangka dasar berkaitan pelaburan, perdagangan, dan industri yang berkait rapat dengan dasar fiskal, insentif percukaian dan aliran modal negara,” tambah agensi itu.

Selain itu, pengalaman luas Johari sebagai pengerusi dan pengarah di syarikat utama termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam sektor seperti pembuatan, pembinaan, dan perkhidmatan membuktikan keupayaan beliau membuat keputusan strategik serta memberikan pemahaman praktikal mengenai rantaian bekalan global, cabaran pasaran antarabangsa, dan keperluan untuk meningkatkan daya saing eksport Malaysia, jelas MATRADE.

“MATRADE yakin momentum pencapaian MITI semasa kepimpinan bekas Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan terus dipacu di bawah kepimpinan baharu Johari. Pelantikan ini juga dilihat tepat bagi mengemudi MITI dan agensi ke arah menjadikan Malaysia hab perdagangan dan industri serantau yang dinamik,” menurut MATRADE.

-- BERNAMA