SEDA Malaysia Promosikan Kemajuan Ekosistem Biotenaga Negara Menjelang ISES 2026

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) hari ini menganjurkan Forum Awal Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2026, sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang ISES 2026 edisi ketujuh.

Menurut SEDA Malaysia dalam kenyataan hari ini, forum bertajuk "Memajukan Ekosistem Biotenaga Malaysia" menyokong persediaan SEDA Malaysia menjelang ISES 2026 bertemakan “Visi Tenaga Lestari Melangkaui Sempadan," yang mencerminkan hasrat bersama untuk memperkukuh dan mempertingkat antara sektor tenaga boleh baharu (TBB) paling berpotensi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia Datuk Hamzah Hussin berkata pihak berkuasa itu berperanan penting dalam memacu agenda TBB negara.

Beliau berkata, sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, SEDA Malaysia bertanggungjawab memudah cara, mengawal selia dan membolehkan pengembangan TBB di seluruh Malaysia,  di samping memastikan setiap inisiatif berteraskan tadbir urus yang kukuh, kesediaan pasaran dan kelestarian jangka panjang.

“Satu daripada tanggungjawab paling penting SEDA di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara adalah memperkukuh bidang pertumbuhan baharu, terutama yang memanfaatkan sumber semula jadi serta kekuatan industri Malaysia.

“Antara peluang-peluang ini, biojisim menonjol sebagai sektor strategik yang boleh menyokong peralihan tenaga Malaysia dengan ketara di samping merangsang peluang ekonomi baharu,” katanya.

Hamzah berkata kemajuan pembangunan biotenaga terus melahirkan beberapa cabaran kritikal yang memerlukan perhatian strategik.

“Di Malaysia, bekalan bahan mentah yang konsisten dan berkualiti tinggi masih tidak menentu, sekali gus mengehadkan keupayaan pemaju untuk mendapatkan jumlah bekalan yang boleh dipercayai untuk operasi yang cekap.

“Cabaran ini menekankan keperluan terhadap perancangan menyeluruh, penyelesaian inovatif dan sokongan dasar yang diperkukuh bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi bioenergi Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, forum berkenaan dimulakan dengan pembentangan gambaran keseluruhan projek oleh penyelidik kanan SEDA Malaysia Rosmahani Mohd Shah, yang menghuraikan skop dan objektif kajian yang telah disiapkan bertajuk “Potensi Kluster Bioenergi di Semenanjung Malaysia.”

Ia diikuti dengan sesi perkongsian laporan terperinci oleh perunding yang dilantik Datuk Leong Kin Mun, yang membentangkan dapatan utama kajian berkenaan.

Program ini diteruskan dengan sesi panel peringkat tinggi yang menampilkan Presiden Persatuan Pengilang Minyak Sawit Persekutuan David Lim Lian Keong, Ketua Transformasi Kumpulan FGV Holdings Bhd Gideon Tan Xiang Yee dan Ketua Kewangan Lestari Serantau CIMB Bank Bhd Azmir Abdullah.

Sesi bertajuk “Memanfaatkan Potensi Biotenaga melalui Kolaborasi Ekosistem, Inovasi dan Sokongan Dasar” telah meneroka beberapa dimensi kritikal landskap biotenaga Malaysia.

“Kalangan ahli panel bersetuju bahawa biotenaga mempunyai potensi besar apabila ekosistem, inovasi dan sokongan dasar bekerjasama.

“Kerjasama ini meningkatkan penggunaan biojisim yang cekap, mengukuhkan pengoptimuman sumber dan menggalakkan sistem tenaga yang berdaya tahan dan rendah karbon sekali gus mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam tenaga lestari di rantau ini," katanya.

Ketika negara melakukan persiapan untuk sidang kemuncak tahun hadapan, SEDA Malaysia kekal komited untuk memupuk perkongsian ilmu, menggalakkan kerjasama industri dan memperkukuh perkongsian rentas sempadan bagi mempercepat peralihan tenaga Malaysia.

ISES 2026 akan diadakan pada 11 hingga 12 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

-- BERNAMA