BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

SCS Test Solution Perkukuh Landskap Keselamatan Kenderaan Malaysia Dengan Teknologi VLT

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- SCS Test Solution Sdn Bhd terus meningkatkan standard ekosistem pemeriksaan kenderaan di Malaysia dengan mengadaptasi teknologi canggih VLT (VL Test) dari Belanda, membawa teknologi kejituan Eropah ke dalam perkhidmatan pra-ujian dan pembaikan tempatan.

Pengarah Urusan SCS Gan Kok Leong berkata dengan data tepat VLT dan simulasi jalan raya sebenar, pusat sehenti syarikat itu menyokong usaha pemeriksaan kenderaan Malaysia dengan perkhidmatan pra-ujian berkomputer dan khidmat baik pulih segera bagi membantu setiap pemandu lebih yakin dan bersedia sebelum menghantar kenderaan mereka ke pusat pemeriksaan komputer rasmi.

“Menggunakan peralatan VLT, SCS boleh mengenal pasti ketidakseimbangan brek dan ketidakjajaran suspensi dan isu-isu lain yang sukar dikesan melalui pemeriksaan visual.

“Ujian berkomputer berkala sangat penting. Kenderaan komersial wajib menjalani pemeriksaan setiap enam bulan di pusat pemeriksaan berkomputer rasmi, manakala kenderaan e-hailing pula diperiksa sekali setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ditubuhkan pada 2019, SCS beroperasi sebagai pusat sehenti automasi ujian dan baik pulih, menyokong pemilik kereta persendirian, pengendali fleet, syarikat logistik serta pemandu e-hailing.

Kerjasama strategik dengan VLT itu merupakan satu langkah penting kehadapan ketika SCS bersedia untuk memperluaskan perkhidmatannya.

Sementara itu Pengurus Produk Komersial VLT Mark Van Ierland berkata syarikat tersebut mempunyai pengalaman lebih 65 tahun dalam pembuatan dan pembekalan peralatan pengujian kenderaan kepada kerajaan, pusat pemeriksaan swasta, bengkel, pemilik fleet dan pengangkutan awam di seluruh dunia.

“Peralatan kami mensimulasikan keadaan jalan raya sebenar dengan ketepatan dan kebolehulangan yang tinggi.

“Ketahanan juga merupakan kelebihan utama yang mana kebanyakan sistem kami boleh beroperasi lebih 25 tahun dengan penyelenggaraan dan penentukuran yang betul. Kami menyediakan alat ganti jangka panjang, kemas kini perisian jarak jauh, penentukuran berkala dan sokongan servis penuh bersama SCS,” katanya.

Beliau berkata peralatan generasi keenam VLT boleh disepadukan sepenuhnya dengan platform teknologi maklumat (IT,) membolehkan pengambilan data masa nyata, laporan ujian automatik serta kemas kini ‘over-the-air’ (menghantar data, perisian atau isyarat secara wayarles melalui gelombang udara) untuk mematuhi peraturan baharu atau jenis kenderaan baharu yang memasuki pasaran Malaysia.

-- BERNAMA