BERITA TERKINI   Malaysia tetapkan sasaran capai RM100 bilion dalam jualan francais negara menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean raih pingat emas 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3:50.63s | Thailand akan adakan pilihan raya umum pada 8 Feb - Suruhanjaya Pilihan Raya | Sukan SEA 2025: Kuartet 4x100 meter lelaki negara rangkul perak, pecah rekod kebangsaan dengan catatan baharu 39.03 saat | Sukan SEA 2025: Atlet olahraga negara Andre Anura Anuar rangkul emas lompat jauh lelaki | 

Pasaran Getah KL Ditutup Tinggi Didorong Harga Minyak Mentah, Jangkaan Rangsang China

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini, menjejaki harga minyak mentah yang lebih kukuh, kata peniaga.

Beliau berkata harga minyak meningkat apabila gangguan bekalan yang dikaitkan dengan ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela mengatasi kebimbangan mengenai lebihan bekalan serta kesan daripada kemungkinan potensi perjanjian damai Rusia-Ukraine.

Ketika laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent naik 0.34 peratus kepada US$61.33 setong.

Peniaga itu juga berkata sentimen pasaran turut disokong oleh peningkatan keyakinan terhadap rangsangan tambahan dari China pada 2026.

“Dalam keadaan data ekonomi terkini yang hambar, gesaan semakin meningkat supaya pemacu pertumbuhan lebih kukuh dan rangsangan tambahan China, apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa pembaharuan segera dan tindakan tegas dalam sektor hartanah,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data ekonomi China yang lemah dalam keadaan isyarat bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau.

“Biro Perangkaan Kebangsaan melaporkan pengeluaran perindustrian China pada November meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 4.9 peratus pada Oktober, manakala pertumbuhan jualan runcit lembap pada 1.3 peratus,” katanya.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 1.5 sen kepada 725.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok  1.0 sen kepada 576.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA