Halogen Capital Lengkapkan Pusingan Pembiayaan RM13.3 Juta, Kenanga IB Pegang 14.9 Peratus
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Halogen Capital Sdn Bhd melengkapkan pusingan pembiayaan RM13.3 juta (US$3.2 juta) dengan Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) muncul sebagai pemegang saham institusi terbesar serta memegang 14.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
Halogen Capital dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pembiayaan yang dibuat melalui anak syarikat milik penuh Kenanga IB, Kenanga Private Equity Sdn Bhd akan menyokong syarikat tersebut dalam memajukan strategi tokenisasi Aset Dunia Sebenar (RWA).
Ini termasuk dana amanah unit tempatan, bon, sukuk, kredit swasta dan hartanah yang mewujudkan akses lebih luas kepada peluang pelaburan yang secara tradisinya hanya tersedia kepada pelabur institusi dan pelabur berpendapatan tinggi.
“Berasaskan kepakaran Halogen Capital dalam tokenisasi aset dan pengurusan dana aset digital serta digabungkan dengan kekuatan institusi Kenanga, pengiktirafan jenama selain kerjasama serantau, inisiatif ini akan menyediakan peluang pelaburan inovatif untuk pelabur di Malaysia dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga IB Datuk Chay Wai Leong berkata dengan memanfaatkan teknologi blok rantai dan tokenisasi serta mengukuhkan rangkaian platform digital, kumpulan ini menyasarkan untuk mentakrifkan semula cara pelabur berinteraksi dengan pasaran modal.
Katanya, ini menjadikannya lebih cekap, mudah diakses dan berdaya saing di peringkat global.
“Secara bersama-sama, inisiatif ini meletakkan asas bagi produk yang dijangka memenuhi keperluan pelabur dan perniagaan yang sentiasa berubah dalam persekitaran kewangan yang pesat berkembang,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halogen Capital Liew Ooi Hann berkata penyertaan institusi semakin meningkat secara konsisten di seluruh dunia dengan lebih daripada RM744 bilion (US$181 bilion) kini disimpan dalam perbendaharaan kripto korporat.
“Malaysia sedang mengalami perubahan yang sama dan permintaan untuk pendedahan yang dikawal selia serta diuruskan secara profesional berkembang pesat sejak tiga tahun lepas.
"Dengan sokongan daripada pelabur terkemuka, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mempercepatkan inovasi produk dan memperluas akses kepada pelaburan aset digital bertaraf institusi,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 2023 sebagai perintis dana kripto patuh syariah pertama di dunia, Halogen Capital mengembangkan aset yang diuruskan kepada kira-kira RM400 juta setakat November 2025.
Ini termasuk Halogen Shariah Bitcoin Fund yang muncul sebagai satu daripada dana berprestasi terbaik di Malaysia sejak penubuhannya seperti yang tercatat dalam data London Stock Exchange Group Lipper.
-- BERNAMA