BERITA TERKINI   Tiada tolak ansur terhadap sebarang bentuk penyelewengan dana masjid, surau - Sultan Selangor | Sultan Selangor titah masjid dan surau hendaklah bebas sepenuhnya daripada sebarang pengaruh politik kepartian | ISF Group Bhd mula didagangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 50 sen, premium 17 sen daripada harga IPO 33 sen, dengan 50.14 juta saham bertukar tangan | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi, Pelabur Jangka Kadar Faedah AS Turun Lagi Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, disokong oleh jangkaan penurunan kadar faedah selanjutnya tahun depan yang menjadikan aset selamat itu lebih menarik kepada pelabur.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini membuat langkah berani dengan menurunkan kadar faedah kepada 3.50-3.75 peratus, iaitu penurunan ketiga tahun ini daripada julat 4.25-4.50 peratus yang ditetapkan pada Disember tahun lepas — satu keputusan yang turut menjejaskan nilai dolar AS.

Kontrak bulan semerta Disember 2025 meningkat kepada US$4,324.50 setiap auns troy daripada US$4,226.60 setiap auns troy, Januari 2026 naik kepada US$4,341.40 setiap auns troy daripada US$4,242.40 setiap auns troy, Februari 2026 menokok sedikit kepada US$4,357.20 setiap auns troy daripada US$4,258.20 setiap auns troy pada Khamis.

Kontrak Mac 2026 menambah kepada US$4,373.90 setiap auns troy daripada US$4,274.90 setiap auns troy, manakala  Kontrak April dan Jun 2026 turut ditutup lebih tinggi kepada US$4,394.20 setiap auns troy daripada US$4,277.70 setiap auns troy pada semalam.

Jumlah dagangan melonjak kepada 172 lot berbanding lima lot semalam, manakala kepentingan terbuka turut meningkat kepada 238 kontrak daripada 67 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$4,230.35 setiap auns troy, menurut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 11 Disember, 2025.

-- BERNAMA