Bursa Malaysia Kekal Meningkat Pada Tengah Hari Dipacu Sentimen Positif
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada tengah hari ini, didorong oleh sentimen semalaman Wall Street yang positif.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 10.84 mata atau 0.67 peratus kepada 1,636.23 daripada paras penutup 1,625.39, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.83 mata pada 1,622.56 dan bergerak dalam jajaran 1,622.03 hingga 1,636.50 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 558 berbanding 360 manakala 485 lain tidak berubah, 1,365 kekal tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.69 bilion unit bernilai RM1.06 bilion.
Menerusi nota penyelidikannya hari ini, Apex Securities Bhd menjangkakan FBM KLCI diniagakan dengan kecenderungan meningkat, disokong oleh sentimen mudah tunai global yang lebih baik berikutan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) serta ketahanan pasaran ekuiti negara maju berkenaan.
Firma pembrokeran itu juga kekal konstruktif terhadap kaunter tenaga sokongan dan tenaga boleh baharu tertentu, didorong oleh angin perubahan struktur daripada peralihan tenaga ketika ini.
“Keadaan itu dijangka kekal kukuh walaupun berdepan cabaran perdagangan global dan akan terus menarik minat pelaburan berikutan ketampakan pendapatan yang stabil,” katanya.
Saham wajaran tinggi seperti Maybank naik lapan sen kepada RM10.34, Public Bank menokok empat sen kepada RM4.46, CIMB Group meningkat empat sen kepada RM7.92, Tenaga Nasional meraih 20 sen kepada RM12.94 manakala IHH Healthcare untung 11 sen kepada RM8.51.
Bagi saham aktif, Velesto Energy meningkat setengah sen kepada 28 sen, Perak Transit menambah 3.5 sen kepada 32 sen, VS Industry naik dua sen kepada 54 sen, Tanco Holdings menokok tiga sen kepada RM1.18 dan Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen.
Kaunter paling untung termasuk Petronas Gas yang melonjak 34 sen kepada RM17.62, Hong Leong Bank menambah 20 sen kepada RM21.80, Bintulu Port menokok 14 sen kepada RM5.49, Sarawak Oil Palms meraih 13 sen kepada RM3.88 serta Alliance Bank menokok 12 sen kepada RM4.75.
Selain itu, prestasi kaunter paling rugi adalah Nestle yang susut 60 sen kepada RM113.60, Dutch Lady turun 50 sen kepada RM29.60, Batu Kawan berkurangan 14 sen kepada RM19.22, Fraser & Neave kehilangan 12 sen kepada RM34.88 dan Ajinomoto menguncup 10 sen kepada RM13.68.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas melonjak 75.00 mata kepada 12,058.66, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 63.69 mata kepada 11,886.45, Indeks FBMT 100 menokok 72.63 mata kepada 11,849.50, Indeks FBM 70 meraih 76.38 mata kepada 16,706.88 dan Indeks FBM ACE menambah 29.51 mata kepada 4,741.57.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 86.60 mata kepada 19,239.08, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.97 mata kepada 168.51, Indeks Tenaga menambah 5.92 mata kepada 768.72 manakala Indeks Perladangan meningkat 16.40 mata kepada 8,150.58.
-- BERNAMA