AS Tidak Bangkitkan Isu Hak Bumiputera Dalam Pemeteraian ART - Liew
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) tidak pernah menuntut atau membangkitkan isu hak bumiputera sebagai satu daripada klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia-AS, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Sehubungan itu, katanya tiada keperluan untuk menyatakan secara khusus pengecualian berkaitan hak bumiputera dalam komitmen ART.
“MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) ingin menegaskan bahawa kerajaan MADANI sentiasa dan akan terus mempertahankan dasar bumiputera.
“Tidak ada klausa dalam perjanjian perdagangan timbal balas yang memberikan keistimewaan dan hak kaum bumiputera kepada syarikat AS,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Liew turut menekankan bahawa tiada klausa dalam ART yang memerlukan komitmen liberalisasi sepenuhnya bagi sektor ekonomi yang sensitif yang memerlukan Malaysia membuka akses kepada syarikat AS.
“Isu perolehan kerajaan juga tidak termasuk dalam skop komitmen ART,” katanya.
Dalam pada itu, Liew berkata ART juga tidak menetapkan sebarang halangan untuk Malaysia menyertai mana-mana blok perdagangan serantau seperti BRICS.
“Perjanjian ini tidak menghalang Malaysia untuk memasuki apa-apa blok dan dasar kerajaan ialah kita tidak berpihak kepada AS, kita juga tidak berpihak kepada China.
“Dasar kita ialah neutral. Kita di tengah-tengah, kita perlu pasaran AS dan kita perlu perdagangan dengan China tetapi pendirian kita ialah neutral,” katanya.
Liew memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau pelaksanaan ART dan sebarang isu berbangkit akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bersama yang dipengerusikan oleh MITI dan wakil perdagangan AS apabila ia berkuat kuasa.
“Ini bagi memastikan ia selaras dengan kepentingan negara,” katanya.
-- BERNAMA