Nilai Ambang E-Invois RM1 Juta Redakan Tekanan Dihadapi PKS - Ahli Ekonomi

Oleh K. Naveen Prabu & Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Langkah mengecualikan syarikat berpendapatan tahunan bawah RM1 juta daripada melaksanakan e-Invois akan mengurangkan tekanan pentadbiran terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membolehkan mereka menumpukan kepada aktiviti perniagaan teras, kata ahli ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education, Dr Carmelo Ferlito berkata pengecualian syarikat kecil daripada keperluan serta-merta itu akan mewujudkan ruang operasi untuk perniagaan yang bergantung kepada tenaga kerja yang terhad.

“Pelaksanaan e-Invois adalah satu beban pentadbiran yang boleh mengalihkan sumber daripada aktiviti teras syarikat yang berpendapatan di bawah ambang RM1 juta, yang biasanya terdiri daripada pemilik dan kumpulan pekerja yang sangat kecil.

“Pengecualian ini memberikan manfaat dari segi masa dan sumber untuk PKS memberi tumpuan kepada perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengecualian itu akan memberi lebih masa kepada PKS untuk menumpukan kepada strategi dan pertumbuhan sebelum menerima guna instrumen cukai digital.

Ketika ditanya sama ada pengecualian tersebut akan menjejaskan matlamat pendigitalan jangka masa panjang Malaysia, beliau berkata dasar pendigitalan mesti mencerminkan struktur landskap perniagaan negara yang didominasi PKS.

“Pendigitalan tidak boleh menjadi sasaran secara sendiri. Perkara itu perlu berasaskan struktur sebenar kapitalisme Malaysia, yang berasingan.

“Oleh itu, pendigitalan tidak boleh sekadar hiasan dasar sebaliknya perlu digunakan dengan cara yang sewajarnya dan mengikut realiti di lapangan,” katanya.

Pada Sabtu, kerajaan mengumumkan nilai ambang pengecualian e-Invois akan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta tahun depan selepas menerima maklum balas daripada perniagaan kecil berkaitan kos pelaksanaan.

PKS mengalu-alukan langkah tersebut yang akan mengurangkan kos pematuhan di samping memberi lebih masa untuk mereka menyesuai dengan sistem itu.

Pengarah NovaGrid Sdn Bhd Aishah Mohamad Afandi berkata banyak PKS pada awalnya “tidak bersedia” dengan keperluan e-Invois memandangkan tambahan lapisan sistem itu melibatkan proses dan perbelanjaan baharu.

“Kami sangat gembira kerana dapat mengurangkan beban kewangan, bukan sahaja bagi kami malah juga vendor kami,” katanya.

Beliau berkata kenaikan nilai ambang itu akan membolehkan PKS mengukuhkan pengurusan kewangan dan meningkatkan pematuhan cukai dalam jangka masa panjang.

Invois yang lebih baik dan pengesahan lebih pantas menerusi e-Invois boleh memendekkan kelewatan pembayaran antara syarikat, yang telah lama menjadi isu bagi perniagaan kecil, katanya.

Aishah berkata PKS telah menggunakan peluang untuk menghadiri kursus latihan, kebanyakannya boleh dituntut cukai, sebagai persediaan untuk peralihan kepada e-Invois.

“Sama ada kita bersedia atau tidak, lambat-laun kita mesti bersedia kerana inilah hala tuju untuk maju. Cukai adalah kutipan yang sangat penting untuk negara,” katanya.

Beliau berkata kerjasama lebih erat antara PKS, kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri amat penting untuk pelaksanaan yang lancar, di samping PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara.

“Kita mahu memperluas pemahaman, bukan menakutkan orang ramai mengenai e-Invois. e-Invois sesuatu yang baik namun penerimaan akan mengambil masa,” katanya.

-- BERNAMA