Indeks Harga Seunit Besi Susut -0.1 Sehingga -3.2 Peratus Pada November 2025 -- DOSM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan indeks harga seunit besi menunjukkan penurunan pada November 2025 iaitu antara -0.1 sehingga -3.2 peratus berbanding bulan lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tertinggi indeks harga bahan ini direkodkan di Miri (-3.2 peratus) diikuti Kota Kinabalu (-3.1 peratus) dan Pahang (-0.8 peratus).

"Indeks harga keratan keluli dan logam turut mencatatkan penurunan kecil pada November 2025 dengan perubahan bulan ke bulan antara -0.1 peratus hingga -3.0 peratus di semua kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

Indeks harga seunit simen kekal tidak berubah bagi semua kawasan pada November 2025 kecuali peningkatan kecil dalam indeks di Pahang (2.6 peratus), Perak (1.9 peratus) dan Kuching (0.9 peratus).

Selain daripada itu, indeks harga seunit pasir juga kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan kecuali peningkatan dalam indeks di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (1.4 peratus).

Perbandingan tahunan untuk tempoh November 2024 dan November 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara -2.7 peratus hingga -7.9 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini dicatatkan di Kota Kinabalu (-7.9 peratus) diikuti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta Sibu (masing-masing -7.5 peratus).

Selain itu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula mencatatkan peningkatan antara 0.5 peratus hingga 4.5 peratus pada November 2025 berbanding bulan yang sama tahun lepas bagi seluruh kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Pahang (4.5 peratus) diikuti dengan Tawau (3.9 peratus) dan Sandakan (3.5 peratus).

-- BERNAMA