BERITA TERKINI   Tiada pakej rangsangan ekonomi buat masa ini susulan konflik di Asia Barat - Amir Hamzah | Lebih RM7 bilion disalurkan bagi membiayai lebih 11,500 PMKS dan syarikat pemula niaga sejak 2019 - Pengerusi SC | Kerajaan tambah peruntukan RM20 juta, selain RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, menjadikan jumlah peruntukan MyCIF bagi tahun ini sebanyak RM50 juta - Amir Hamzah | SC, Bursa Malaysia memudah cara peralihan syarikat Ekuiti Pendanaan Awam yang mempunyai rekod kutipan dana kukuh untuk disenaraikan di Pasaran LEAP - Amir Hamzah | SC akan memudah cara pemindahan syarikat dari Pasaran LEAP ke ACE dengan memansuhkan keperluan tawaran keluar pada separuh kedua tahun ini - Amir Hamzah | 

Asia-Pasifik Kekal Penyumbang Terbesar Kepada Pertumbuhan Trafik Udara Global Tahun Depan

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

GENEVA, 9 Dis (Bernama) -- Rantau Asia-Pasifik dijangka kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan trafik udara global dengan faktor muatan diunjurkan mencecah 84.4 peratus tahun depan iaitu paras tertinggi sepanjang masa bagi rantau itu.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang berpusat di sini, menjelaskan bagaimanapun lebihan kapasiti terus menjadi cabaran bagi rantau itu.

IATA dalam pada itu memaklumkan keuntungan bersih bagi 2026 dijangka meningkat kepada US$6.6 bilion (RM27.15 bilion) dengan perolehan daripada permintaan penumpang bagi setiap kilometer (RPK) dijangka naik sebanyak 7.3 peratus dan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometeri diunjurkan pada 7.1 peratus.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata permintaan penumpang kekal kukuh dengan China dan India menerajui peluasan serantau.

“Ini dipacu oleh peningkatan aktiviti pelancongan dan pertambahan golongan kelas pertengahan,” katanya ketika Hari Media Global IATA yang diadakan di ibu pejabatnya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pelonggaran syarat visa bagi lawatan berkumpulan dari China ke Korea Selatan dan untuk pengunjung ke China dijangka merangsang permintaan masuk jangka pendek, khususnya ketika kemuncak musim percutian.

Pada 16 Julai, Malaysia dan China melanjutkan Perjanjian Pengecualian Visa Bersama Malaysia-China, berkuat kuasa 17 Julai, bagi lawatan jangka pendek sehingga 90 hari dalam tempoh 180 hari.

IATA menjelaskan bagaimanapun, lebihan kapasiti kekal sebagai cabaran ekoran pemulihan trafik antarabangsa yang lebih perlahan, sekali gus mewujudkan tekanan terhadap perolehan.

“Tekanan deflasi turut mengakibatkan penurunan perolehan di China.

“Walaupun eksport China ke Amerika Syarikat berkurangan namun kesan penggantian telah membantu mengimbangi impak ketegangan perdagangan apabila barangan China menemui pasaran alternatif,” tambahnya.

Perolehan daripada penumpang bagi setiap kilometer (RPK) atau perolehan penumpang merupakan metrik industri penerbangan yang menunjukkan jumlah kilometer yang ditempuh oleh penumpang yang membayar tambang.

Tempat duduk tersedia bagi setiap kilometeri pula menunjukkan jumlah keseluruhan penumpang bagi setiap kilometer yang berpotensi dijana untuk menentukan jumlah perolehan yang direkodkan berbanding jumlah maksimum.

-- BERNAMA