BERITA TERKINI   Setakat ini, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART - Johari | MITI bersama agensinya, MATRADE dan MIDA dibantu oleh MIDF Research sedang melaksanakan analisis kos-faedah (CBA) bagi ART - Johari | Pelaksanaan projek Loji Janakuasa 120MW di Zon Perindustrian Rancha-Rancha pastikan kecukupan bekalan tenaga elektrik di Labuan - TPM Fadillah | Angka ekonomi positif berjaya memperkukuh kedudukan ringgit - PM Anwar | Pengukuhan ringgit menunjukkan keyakinan terhadap sistem ekonomi negara - PM Anwar | 

Lawatan MITI Ke Bernama Eratkan Kerjasama Penyampaian Maklumat Dasar Negara

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengadakan lawatan rasmi ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 8 Dis, 2025, bertujuan untuk mengeratkan serta memperkukuh hubungan baik antara kementerian itu dan pihak media.

Lawatan berkenaan diketuai Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob, diiringi Pengarah Sekretariat Malaysia Ekspo Dunia 2025 Osaka Nor Haslynda Wan Rahim, Ketua Komunikasi Strategik MITI Nor Sheila Fatin Shaik Annuar Pasha serta beberapa pegawai kanan kementerian.

Ketibaan mereka disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dan juga wakil dari Bernama TV dan radio.

Dalam ucapannya, Nur-ul Afida berkata lawatan itu bukan sahaja satu penghormatan kepada Bernama, malah mencerminkan hubungan erat serta kepercayaan MITI terhadap peranan Bernama sebagai agensi media rasmi negara.

“Kerjasama Bernama–MITI bukan sekadar melibatkan liputan berita, tetapi turut merangkumi tanggungjawab bersama dalam menyampaikan maklumat dasar negara kepada rakyat dengan tepat, cepat dan berintegriti,” kata beliau.

Beliau turut menekankan bahawa setiap pengumuman, dasar dan inisiatif MITI memberi impak langsung kepada keyakinan pelabur, peluang pekerjaan, daya saing industri tempatan serta kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, menjadi komitmen Bernama untuk memastikan setiap maklumat penting yang disampaikan oleh MITI dapat disebarluaskan dengan tepat kepada semua, katanya.

Ketika lawatan di Wisma BERNAMA itu, MITI dan Bernama turut bertukar pandangan mengenai landskap media semasa  dan membincangkan peluang kerjasama strategik, termasuk dalam penyampaian maklumat terkini berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

-- BERNAMA