BERITA TERKINI   JKDM perlu terus perbaiki keupayaan dan integriti pastikan kedudukan negara kekal kukuh, capai kutipan hasil lebih memberangsangkan -- PM Anwar | 88,000 unit produk kesihatan disyaki mengandungi racun berjadual bernilai RM24 juta dirampas di Pulau Pinang - Pengarah Kesihatan Negeri | Ringgit cecah paras tertinggi baharu pada 3.9668 berbanding dolar AS selepas sesi rehat tengah hari | Ringgit cecah paras tertinggi baharu pada 3.96 berbanding dolar AS selepas sesi rehat tengah hari | Polis ambil keterangan beberapa pegawai tentera susulan penyebaran maklumat berkaitan perjawatan strategik ATM - Mohamed Khaled | 

Malaysia Perkuat Agenda Mobiliti Hijau, Sokong Pertumbuhan Ekonomi Mapan - PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri hari ini menerima kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) hidrogen Toyota Mirai daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, menandakan langkah penting dalam memperkukuh agenda negara ke arah mobiliti hijau melalui teknologi rendah karbon serta pertumbuhan ekonomi bagi masa depan lebih mapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu mencerminkan keyakinan rakan industri tempatan dan antarabangsa terhadap dasar serta hala tuju Malaysia khususnya dalam membangunkan ekosistem hidrogen negara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata penyerahan kenderaan itu juga akan merancakkan kerjasama rentas sempadan dan memacu inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara.

“Kerajaan MADANI akan terus menerajui peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar dalam memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi keperluan masa depan, tetapi turut menjadi peneraju dalam membentuk landskap mobiliti yang lebih bersih, selamat dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya. 

-- BERNAMA