BERITA TERKINI   GSF 2.0: Lebih 40 peserta daripada Malaysia, Indonesia, Pakistan, India, Seri Lanka dan Filipina sertai pelayaran fasa akhir ke Gaza - KP SNCC | Lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada tahun ini - MoF | Kemudahan pembiayaan mikro RM5 bilion yang diumumkan hari ini adalah berasingan daripada Kemudahan Bantuan Khas PKS RM5 bilion oleh BNM serta RM5 bilion di bawah SJPP - MoF | Kerajaan MADANI sedia kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000 - MoF | 

N.Sembilan Dijangka Terima Pelaburan Asing Baharu Lebih RM27 Bilion Bermula Tahun Depan - Aminuddin

SEREMBAN, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan dijangka menerima limpahan pelaburan asing baharu berjumlah lebih RM27 bilion bermula tahun depan, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diberitahu hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini bakal diterima menerusi lima pelaburan asing terbesar yang dikenal pasti untuk kemasukan pelaburan dalam perancangan ke negeri ini, yang melibatkan perkhidmatan logistik dan digital serta sektor pembuatan.

“Ia meliputi projek gudang sejuk beku pintar bertingkat dari Jepun yang akan menjalankan operasi di Techpark 2, Enstek dengan nilai pelaburan RM300 juta dan projek peralatan perubatan yang juga dari Jepun di Sendayan Techvalley (RM280 juta).

“Selain itu, projek elektrik dan elektronik (E&E) semikonduktor dari Belanda di Senawang (RM2 bilion) dengan fasa pertama dianggarkan dengan nilai pelaburan sekitar RM300 juta. Seterusnya, projek kampus data kecerdasan buatan (AI) dari Amerika Syarikat di Bandar Springhill, Lukut (RM5 bilion),” katanya.

Beliau berkata projek terakhir adalah pusat data AI keseluruhan berjumlah RM20 bilion dengan fasa pertama dijangka mencecah rekod pelaburan RM10 bilion dan sekiranya berjaya, ia bakal ditempatkan di pembangunan Negeri Sembilan Semiconductor Valley, parcel F, Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata demikian bagi menjawab soalan Siau Meow Kong (PH-Rahang) yang ingin tahu pelaburan asing terbesar yang dikenal pasti dalam perancangan kerajaan negeri pada 2026 dan sektor yang menerima manfaat utama.

Aminuddin berkata kelima-lima projek strategik itu bertumpu di Seremban dan Port Dickson yang terletak dalam Wilayah MVV 2.0 iaitu kawasan pertumbuhan utama yang kini menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berimpak tinggi di Negeri Sembilan.

Menurutnya berdasarkan momentum semasa, kerajaan negeri menjangkakan pelaburan baharu khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan akan terus berkembang dengan lebih pesat pada masa akan datang.

Beliau berkata pertumbuhan itu dijangka rancak dalam tempoh lima tahun seterusnya, didorong oleh pembukaan kawasan industri baharu yang bukan sahaja strategik tetapi turut dilengkapi jaringan jalan raya yang baik, infrastruktur moden serta ekosistem sokongan komprehensif.

“Dengan hala tuju pembangunan jelas, perancangan yang berpandangan jauh serta komitmen menyeluruh daripada semua pihak, Negeri Sembilan berada pada kedudukan optimum untuk muncul sebagai hab pelaburan serantau yang dinamik,” katanya.

-- BERNAMA