BERITA TERKINI   Jadikan peningkatan mutu pendidikan keutamaan, angkat Malaysia sebagai negara maju - PM Anwar | IKM, KKTM dan MJII dijenamakan semula, dikenali sebagai TVETMARA - TPM Zahid Hamidi | Ekonomi kukuh bolehkan kerajaan beri tumpuan kepada pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial - PM Anwar | Projek Jalan Pintasan Semenyih sepanjang 4.3 km dijangka kurangkan kesesakan serius di kawasan sekitar - PM Anwar | Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar AS pada rehat tengah hari | 

Panel SC Tumpu Pendekatan Berfasa Tangani Ketidakpatuhan Dalam Pelaporan Kemampanan

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR), yang dipengerusikan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pendekatannya untuk menangani ketidakpatuhan terhadap keperluan pelaporan kemampanan pengawalseliaan, yang dibangunkan selaras dengan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Negara (NSRF). 

SC, bersama-sama Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Lembaga Pemantauan Audit, akan menumpukan pada pendekatan berfasa dan praktikal dalam menyemak semula pendedahan,

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi syarikat dalam memenuhi piawaian pelaporan kemampanan baharu disebabkan, antara lain, kekurangan sumber, kualiti data luaran atau kesukaran untuk mendapatkan kepakaran yang diperlukan. 

“Pendekatan kami adalah untuk mengimbangi keperluan pematuhan dengan pelbagai tahap kesediaan merentasi entiti pelapor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya penekanan akan diberikan kepada usaha pembinaan kapasiti dan peningkatan kemahiran sepanjang proses semakan bagi memastikan kemajuan yang wajar dan bermakna oleh entiti pelapor dalam mendedahkan maklumat kemampanan yang konsisten, setanding dan boleh dipercayai.

“Dalam kes ketidakpatuhan secara amnya, ini boleh ditangani melalui penglibatan aktif dan tindakan pembetulan, antara lain,” katanya.

Ini adalah sebagai pengiktirafan tempoh peralihan untuk entiti pelapor menerima pakai Piawaian Penzahiran Kemampanan IFRS.

Dilancarkan pada September tahun lepas, NSRF merupakan langkah penting ke hadapan dalam memajukan agenda kemampanan korporat Malaysia.

Ia terpakai untuk penerbit tersenarai di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Malaysia serta syarikat besar tidak tersenarai (NLCo) dengan pendapatan tahunan sebanyak RM2 bilion dan ke atas. 

-- BERNAMA