BERITA TERKINI   APG 2025: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin raih emas pertama Malaysia dalam ujian masa berbasikal lebuh raya individu | Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Lebih Tinggi Minggu Depan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka diniagakan lebih tinggi minggu hadapan, disokong oleh jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), yang terus menarik minat pelabur terhadap aset pelindung nilai itu.

Tanda-tanda pertumbuhan yang perlahan dan secara sederhana pada data AS terkini telah mengukuhkan jangkaan pasaran mengenai penurunan kadar faedah dalam mesyuarat Fed pada 9–10 Disember, disokong oleh unjuran pelonggaran dasar oleh firma pembrokeran utama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa harga emas dijangka bergerak sekitar US$4,220 setiap auns troy hingga US$4,250 setiap auns troy pada minggu hadapan.

Pada Jumaat lepas, urus niaga di pasaran derivatif Bursa Malaysia dihentikan sementara akibat gangguan sistem Globex dan disambung semula pada 1 Disember.

Bagi tempoh Khamis lalu hingga Jumaat ini, kontrak bulan semerta Disember 2025 meningkat sedikit kepada US$4,206.10 setiap auns troy daripada US$4,172.60 setiap auns troy.

Kontrak Januari 2026 mengukuh kepada US$4,221.80 setiap auns troy daripada US$4,188.50 setiap auns troy, manakala kontrak Februari 2026 menurun kepada US$4,269.90 setiap auns troy daripada US$4,204.80 setiap auns troy seminggu sebelumnya.

Sementara itu, kontrak April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup lebih tinggi kepada US$4,303.80 setiap auns troy berbanding US$4,204.80 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 299 lot daripada 245 lot minggu lalu, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 148 kontrak daripada 181 kontrak seminggu sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$4,200.60 setiap auns troy, mengikut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 4 Disember, 2025.

-- BERNAMA