BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | 

IILM Akhiri 2025 Dengan Terbitan Semula Sukuk Jangka Pendek Bernilai US$1.365 Bilion

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) menerbitkan semula sejumlah US$1.365 bilion sukuk jangka pendek merentasi empat tempoh dalam lelongan terakhirnya bagi 2025.

Penerbit instrumen pengurusan mudah tunai jangka pendek patuh syariah terkemuka di dunia itu berkata, terbitan tersebut ditetapkan pada harga 4.00 peratus untuk US$330 juta (tempoh satu bulan), 4.04 peratus untuk US$660 juta (tempoh tiga bulan) dan 3.90 peratus untuk US$325 juta (tempoh enam bulan).

Selain itu, turut ditetapkan 3.85 peratus untuk US$50 juta (tempoh sembilan bulan).

Urus niaga berkenaan menandakan lelongan sukuk ke-21 IILM setakat ini yang membawa jumlah terbitan pada 2025 kepada US$22.9 bilion merentasi 69 siri dengan tempoh yang berbeza iaitu terbitan kumulatif tahunan tertinggi dalam sejarah organisasi tersebut, kata IILM dalam satu kenyataan hari ini.

Terbitan terbaharu ini dijalankan di bawah program terbitan sukuk jangka pendek IILM sebanyak US$8.5 bilion yang mendapat penarafan “A-1” daripada S&P Global Ratings dan “F1” daripada Fitch Ratings.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata perbadanan itu mencatatkan jumlah terbitan tahunan tertinggi iaitu sebanyak US$22.9 bilion.

Katanya ia menunjukkan peningkatan sebanyak 76 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan menjalankan lelongan terbanyak dalam satu tahun kalendar selain mengekalkan nisbah bidaan kepada perlindungan yang konsisten kukuh merentasi semua tempoh.

"Keputusan ini mencerminkan kedalaman mudah tunai dalam sistem kewangan Islam dan pengukuhan peranan IILM sebagai penyedia instrumen jangka pendek patuh syariah yang boleh dipercayai," katanya.

Mohamad Safri turut menekankan portfolio sukuk jangka pendek IILM yang belum tamat tempoh juga mencapai paras tertinggi rekod sebanyak US$6.4 bilion iaitu peningkatan sebanyak 82 peratus berbanding hanya 18 bulan yang lepas.

Selain daripada lonjakan dalam aktiviti terbitan, IILM memperbesarkan program sukuknya kepada US$8.5 bilion.

Sukuk jangka pendek IILM diedarkan oleh rangkaian peniaga utama yang pelbagai dan berkembang di seluruh dunia seperti Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, AlRayan Bank, Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd dan Dukhan Bank.

-- BERNAMA