BERITA TERKINI   PM Anwar ulangi seruan agar rakyat berbelanja secara berhemah meraikan Syawal  | Kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada kebankrapan secara 'fast track' sempena Aidilfitri, - PM Anwar | Diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri pada 18 dan 19 Mac - PM Anwar | FAM didenda USD50,000 (RM196,119) kerana turunkan pemain tidak layak dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 - AFC | Malaysia diisytihar kalah 3-0 kepada Nepal dan Vietnam susulan turunkan pemain tidak layak pada Kelayakan Piala Asia 2027 - AFC | 

Penyasaran Subsidi Tidak Tambah Hutang Negara, Jimat Hingga RM4 Bilion Setahun - MoF

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan penyasaran subsidi bukanlah langkah yang menambah hutang negara, sebaliknya merupakan strategi penting untuk mengurangkan liabiliti jangka panjang, menstabilkan kedudukan fiskal dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata penjimatan melalui penyasaran subsidi ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat dan pembiayaan pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

Penyasaran semula subsidi petrol RON95 merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat selain meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan agihan sumber kewangan negara, kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Menurut MoF, kerajaan dijangka dapat menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun berdasarkan data penggunaan domestik serta andaian bahawa sekitar 20 peratus daripada jumlah penggunaan RON95 pada masa ini melibatkan pengguna yang tidak layak menerima subsidi.

“Julat penjimatan itu mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global antara US$60 hingga US$80 setong, serta pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen tidak disasarkan seperti warga asing dan pengguna komersial,” katanya.

Kementerian itu turut menjelaskan bahawa pendekatan penyasaran subsidi mempunyai kelebihan dan tidak menyebabkan peningkatan kadar inflasi yang mendadak berbanding menaikkan harga RON95 kepada harga pasaran untuk semua, dengan inflasi dijangka kekal di bawah dua peratus bagi 2025 dan 2026.

“Ia juga membantu menampung tahap kegunaan RON95 yang berbeza dalam kalangan rakyat yang mempunyai jarak perjalanan harian berbeza,” tambah MoF.

Kementerian itu berkata kerajaan komited mengamalkan pendekatan fiskal berhemah dan bertanggungjawab, dengan penyasaran subsidi dilihat mampu memperkukuh kedudukan fiskal negara tanpa menambah hutang serta memastikan manfaat disalurkan secara lebih berkesan.

MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli (PH-Pandan) yang ingin tahu anggaran penjimatan kos sistem dan belanja pelaksanaan tahunan 2025, 2026 dan 2027 bagi program subsidi RON95 dan bagaimana penjimatan itu akan dimanfaatkan dan peruntukan-peruntukan mana yang akan ditambah menggunakan penjimatan berkenaan serta peratusan penambahbaikan defisit fiskal negara.

-- BERNAMA