BERITA TERKINI   PM Anwar umum Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment bernilai lebih RM710 juta bagi perkukuh kestabilan pasaran buruh negara | Malaysia masih kekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter meskipun kebanyakan negara pengeluar minyak naikkan harga - PM Anwar | Kerajaan akan terus ambil langkah-langkah perlu dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global - PM Anwar | Kerajaan cadang perluas perlindungan PERKESO kepada warganegara Malaysia di luar negara - PM Anwar | Kerajaan komited perkasakan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara - PM Anwar | 

Peruntukan RM16 Bilion Untuk Sektor HGHV Di Bawah Program GEAR-uP Setakat Suku Ketiga 2025

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Sejumlah RM16 bilion telah diperuntukkan dan disalurkan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) setakat suku ketiga (S3) 2025, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen berkata sektor HGHV yang diperuntukan adalah seperti  semikonduktor dan peralihan tenaga, serta inisiatif untuk memperkasa komuniti kurang terlayani dan membangunkan bakat tempatan.

"Daripada jumlah itu, RM12 bilion lagi sedang dalam penilaian untuk disalurkan ke dalam pelaburan," kata MoF.

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Azahar Hassan berkenaan jumlah pelaburan yang telah berjaya dikendalikan di bawah program GEAR-uP sehingga Oktober dan November 2025.

Menurut Kementerian Kewangan, sejak dilancarkan pada Ogos 2024, enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama telah memberi komitmen untuk menggerakkan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun bagi sektor HGHV selaras dengan ekonomi MADANI.

"Di bawah GEAR-uP, GLIC sedang giat merancakkan sektor-sektor berteknologi tinggi, termasuk dalam ekosistem semikonduktor, peralihan tenaga dan usaha memperkukuh syarikat tempatan serta ekosistem pelaburan negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, MoF turut meneliti model dan amalan terbaik negara-negara yang telah  melaksanakan harga karbon dengan berkesan seperti Switzerland, Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada dalam merangka mekanisme cukai karbon

"Pada masa yang sama, penelitian turut dibuat terhadap pengalaman negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam yang sedang memperkenalkan cukai karbon atau Emission Trading Scheme (ETS) secara berperingkat. 

"Kajian perbandingan ini penting bagi memastikan struktur cukai karbon Malaysia mengambil kira ekosistem industri tempatan, mengekalkan daya saing ekonomi dan mengurangkan risiko kebocoran karbon (carbon leakage)," jelas MoF.

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa berhubung cukai karbon di bawah kerangka percukaian negara yang baharu yang dijadual dilaksanakan pada 2026.

-- BERNAMA