BERITA TERKINI   Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah KL pada 23 Jan - SPRM | Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Hafizuddiean dan isteri akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah KL esok - SPRM | Kementerian Komunikasi tumpu pemerkasaan infrastruktur digital, industri kreatif dan informasi serta komunikasi kerajaan pada 2026 - Fahmi | Ekonomi negara kini di landasan betul, Malaysia jadi tumpuan pelabur asing dan syarikat besar - Fahmi | Tiga pusat membeli-belah dikenal pasti sebagai hab pengangkutan awam bas ekspres laluan KL–Singapura - Loke | 

Dasar Keutamaan Bumiputera Tidak Terjejas Dalam Perjanjian Art -- Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Dasar keutamaan bumiputera masih diamalkan dan tidak terjejas dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) kerana jelas termasuk dalam tanggungjawab awam, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Sambil menyangkal dakwaan segelintir pihak mengenai perkara itu, beliau menegaskan hak bumiputera kekal menjadi garis merah yang dipertahankan oleh kerajaan dalam rundingan berkenaan.

Beliau berkata pihak terbabit memetik Artikel 6.2 bahawa Malaysia hendaklah memastikan syarikat milik atau kawalan kerajaan yang beroperasi dalam pasaran Malaysia bertindak mengikut pertimbangan komersial.

Menurut tafsiran mereka, peruntukan itu bermakna syarikat milik kerajaan tidak lagi boleh melaksanakan dasar seperti keutamaan vendor bumiputera dan perlu mengikut penilaian komersial semata-mata.

“(Ini) tak betul, (sebab) ada klausa lain yang memberi pengecualian bagi tujuan memenuhi tanggungjawab awam iaitu Malaysia akan bertahan daripada memberikan bantuan bukan komersial atau sebaliknya mensubsidi perusahaan milik atau kawalan negara yang mengeluarkan barangan, kecuali bagi mencapai tanggungjawab awam,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.

Tengku Zafrul berkata tanggungjawab awam syarikat milik kerajaan adalah menyokong pembangunan bumiputera agar nikmat kemajuan ekonomi dapat dirasai bersama.

— BERNAMA