BERITA TERKINI   Banjir gelombang pertama Kelantan pulih sepenuhnya dengan penutupan dua PPS di Pasir Mas - APM | Tengku Zafrul tunjuk kesediaan untuk terus sokong kerajaan, tempoh perkhidmatan sebagai Menteri MITI berakhir hari ini | Penyasaran subsidi memastikan rakyat terus dibantu selain membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara - PM Anwar | Kerajaan tetap berpegang kepada pendekatan penyasaran subsidi RON95, tolak cadangan Bank Dunia menaikkan kepada harga pasaran - PM Anwar | PM Anwar umum RM500 juta untuk baik pulih kerosakan infrastruktur awam akibat banjir | 

Niaga Hadapan KLCI Dijangka Semakin Pulih Minggu Depan

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak dengan kecenderungan menaik minggu hadapan, seiring dengan prestasi pasaran tunai pendasar.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI berada dalam keadaan terlebih jual yang mungkin mendorong pelabur untuk mula meletakkan kedudukan berdasarkan kelemahan itu selain meningkatkan penilaian.

“Kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran berkenaan akan bergerak dalam julat 1,600–1,630 pada minggu hadapan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, dagangan di pasaran derivatif Bursa Malaysia dihentikan pada Jumaat berikutan gangguan sistem Globex yang berpunca daripada masalah penyejukan di pusat data CyrusOne di Amerika Syarikat.

Globex ialah platform dagangan elektronik Chicago Mercantile Exchange (CME) Group untuk dagangan derivatif global.

Berbanding Jumaat minggu lepas, kontrak November 2025 menurun 4.5 mata kepada 1,619.0 dalam sesi dagangan Khamis minggu ini, kontrak Disember 2025 susut lima mata kepada 1,618.5, kontrak Mac 2026 berkurangan 6.5 mata kepada 1,600.0 dan kontrak Jun 2026 merosot empat mata kepada 1,607.0.

Jumlah dagangan bagi minggu ini meningkat kepada 184,536 lot daripada 32,615 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka melebar kepada 75,903 kontrak daripada 45,643 kontrak sebelumnya.

Sementara itu, secara mingguan iaitu dari Jumaat ke Jumaat bagi pasaran tunai, FBM KLCI menyusut 13.10 mata kepada 1,604.47 daripada 1,617.57 minggu lepas.

-- BERNAMA