Hak Bumiputera Dilindungi Dalam Perjanjian ART - Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Hak bumiputera adalah satu daripada garisan merah yang sentiasa dilindungi sepanjang dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau turut menegaskan bahawa hak bumiputera langsung tidak terjejas dalam perjanjian tersebut.
“Oleh itu, saya nak cabar (pihak yang mendakwa) untuk mengemukakan klausa khusus yang memberikan syarikat AS status bumiputera dalam ART,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat kepada Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART Malaysia–AS hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan segelintir pihak kononnya perjanjian ART memberikan status bumiputera kepada syarikat AS.
Tengku Zafrul turut menafikan dakwaan bahawa ART menggadai kedaulatan negara.
Katanya kerajaan Malaysia dan AS menekankan nilai kebersamaan mereka termasuk komitmen terhadap kedaulatan, kemakmuran ekonomi dan rantaian bekalan yang berdaya tahan dalam perjanjian itu.
“Ini bermakna kedua-dua kerajaan komited untuk menegakkan kedaulatan masing-masing berdasarkan hubungan ekonomi dua hala yang utuh dan juga kekal.
“Oleh itu, apabila kita membaca semua klausa dalam perjanjian ini, perlu mengambil kira bahawa ia mesti menegakkan kedaulatan (negara) masing-masing.
“Itu sebabnya, jangan membaca perjanjian ini sekerat-sekerat, perlu baca secara keseluruhan,” katanya.
-- BERNAMA