BERITA TERKINI   Tuanku Muhriz zahir kebimbangan gejala rasuah semakin berleluasa, kecewa masih ada pihak beri sokongan kepada individu disabitkan bersalah | Tuanku Muhriz harap pembinaan Hospital USIM di Nilai dipertimbangkan dengan teliti, potensi perkukuh perkhidmatan kesihatan di Negeri Sembilan | Seorang penduduk tetap Singapura didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai kerana pamer nombor pendaftaran bukan milik kenderaan dipandunya | 

Untung Bersih Petronas Dagangan Susut Kepada RM281.25 Juta Pada Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Petronas Dagangan Bhd meraih keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM281.25 juta pada suku ketiga berakhir pada 30 Sept 2025 berbanding RM335.13 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan bagi suku tahun yang dikaji menyusut kepada RM9.53 bilion berbanding RM9.73 bilion sebelumnya.

"Perolehan kumpulan bagi suku berkenaan menyusut sebanyak RM194.6 juta atau dua peratus terutamanya berikutan penurunan purata harga jualan sebanyak enam peratus meskipun terdapat peningkatan empat peratus jumlah jualan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengenai prospek, syarikat berkata ekonomi domestik dijangka kekal berdaya tahan pada 2025, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh, didorong oleh inisiatif BUDI95 dan peningkatan jumlah kemasukan pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Inflasi diunjurkan kekal sederhana yang menawarkan persekitaran makroekonomi stabil," katanya.

Menurut Petronas Dagangan, bagaimanapun persekitaran luaran terus menyebabkan cabaran di tengah-tengah ketidakpastian pasaran global yang berterusan dan jangkaan harga minyak yang lebih rendah.

Sementara itu, dalam makluman berasingan, syarikat telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 24 sen sesaham biasa bagi suku tahun berakhir 30 Sept 2025.

-- BERNAMA