BERITA TERKINI   Pembaikan runtuhan cerun FT1208, Jalan Sungai Buaya dijangka siap tiga bulan dengan kos RM2 juta - Nanta | Runtuhan Cerun : Laluan FT1208, Jalan Sungai Buaya, Hulu Selangor dibuka untuk laluan kenderaan ringan bermula esok - Nanta | Albert Tei ditahan pagi tadi kerana tidak beri kerjasama dan enggan hadir lebih awal untuk siasatan - SPRM | SPRM tahan Shamsul Iskandar, Albert Tei dan Sofia Rini Buyong bagi bantu siasatan dakwaan pemberian rasuah | PM Anwar beri jaminan tidak akan lindungi mana-mana individu disyaki terlibat salah laku atau jenayah rasuah - Fahmi | 

Yinson Sasar Lebih Banyak Peluang Di Afrika

Daripada M. Saraswathi

NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Yinson Holdings Bhd menyasarkan lebih banyak peluang perniagaan di Afrika selepas beroperasi di benua ini selama lebih tiga dekad, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lim Chern Yuan.

Kehadiran Yinson di Afrika adalah melalui perniagaan pengeluaran luar pesisirnya, Yinson Production, yang baru-baru ini melaksanakan kontrak utama dengan Azule Energy untuk menyediakan unit Pengeluaran, Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FPSO) bagi Projek Pembangunan Hab Barat Bersepadu Agogo di Angola.

“Kami baru sahaja mencapai pengeluaran minyak pertama bagi satu daripada FPSO terbesar kami,” katanya, yang merupakan sebahagian daripada delegasi perniagaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke tiga negara di Afrika, dalam satu temubual bersama media Malaysia.

Di Ghana, Yinson turut mengendalikan FPSO John Agyekum Kufuor manakala di Nigeria, syarikat itu mengendalikan FPSO Abigail-Joseph.

“Kami mempunyai sebuah FPSO gas yang menyumbang 60 peratus kepada bekalan gas Ghana.

“Lawatan seperti ini sangat bermanfaat. Hal ini memperluas jaringan kami, memperkukuh asas kami, dan meningkatkan reputasi kami sebagai sebuah syarikat Malaysia di Afrika,” katanya.

Lim berkata Yinson turut bertemu dengan ramai rakan kongsi yang berpotensi untuk meneroka aset infrastruktur tenaga lain di Afrika Selatan.

“Jadi, inilah rantau yang kami sudah lazim dengannya, dan kami akan terus melabur apabila hadir projek yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata benua Afrika menawarkan potensi yang amat besar.

-- BERNAMA