BERITA TERKINI   Perbincangan MCMC dengan pihak X diadakan 21 Jan - Fahmi | STR Fasa 1 tahun 2026 disalurkan mulai 20 Jan, beri manfaat kepada lima juta penerima - PMO | Kadar perbelanjaan bantuan SARA capai 100 peratus tahun lepas, bukti keberkesanan kepada rakyat - PMO | Pelaksanaan bantuan, subsidi bersasar bantu sokong kuasa beli golongan memerlukan - PMO | Kadar pengangguran negara mencatat 2.9 peratus, terendah dalam tempoh 11 tahun - PMO | 

Perjanjian ART Tidak Jejas Kedaulatan Negara - Gobind

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan kedaulatan negara sebaliknya memperkukuh kerjasama perdagangan digital, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo. 

Malaysia mempunyai hak dan kebebasan dalam membuat keputusan selain tidak terikat dengan AS, katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

“Jadi di situ saya sokong pendekatan atau pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu perjanjian ini tidak mengikat, (dan) kedaulatan kita masih ada. Ia merupakan satu perjanjian berkaitan dengan aspek perdagangan tertentu. 

“Apa yang disebut di situ jelas dan nyata, khususnya dari sudut digital yang ditanya berkaitan dengan Fasal 3.1,” katanya. 

Berhubung Fasal 3.1 yang melibatkan Cukai Perkhidmatan Digital, Gobind berkata perjanjian tersebut hanya menetapkan Malaysia tidak akan mengenakan cukai yang bersifat diskriminasi terhadap syarikat AS.

Gobind juga turut menekankan kepentingan untuk memahami peruntukan yang terkandung dalam Fasal 3.1, 3.2 dan 3.3 perjanjian tersebut bagi mengelakkan salah tafsir. 

Beliau menjelaskan Fasal 3.3 yang menyatakan “Malaysia shall consult” tidak membawa maksud Malaysia perlu menerima atau mematuhi sebarang keputusan AS. 

“Penggunaan perkataan “shall” sering dianggap mandatori. Tapi di sini, ia hanya menggunakan perkataan “shall”, tetapi soalnya “shall consult”, maksudnya ini bukan bererti kita terima.

“Ia hanya bererti kita akan berunding dan ini satu perkara yang perlu diberikan perhatian. Perlu berunding dengan AS sebelum memasuki perjanjian perdagangan digital baharu bersama-sama negara lain yang boleh menjejaskan kepentingan utama AS,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata Fasal 3.2 pula menyentuh aspek memudah cara perdagangan digital termasuk mengelakkan langkah yang boleh dianggap bersifat diskriminasi.

Beliau menegaskan perjanjian itu tidak mengikat Malaysia dan tidak menjejaskan ruang kerajaan untuk membuat keputusan yang bebas. 

-- BERNAMA