BERITA TERKINI   430 motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC dipanggil semula bermula 25 Mei berikutan isu teknikal - JPJ | 430 motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC dipanggil semula mula 25 Mei berikutan isu teknikal - JPJ | Proses peralihan, penukaran MyKad Struktur Baharu tidak ganggu proses penebusan bantuan kerajaan termasuk SARA, BUDI95 - JPN  | Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.87 sen seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026 - Kementerian Kewangan | RON95 turun 15 sen kepada RM3.87 seliter berbanding RM4.02 bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei ini  - MOF | 

Botswana Kekal Sebagai Rakan Penting Malaysia Di Afrika - PM Anwar

Daripada M.Saraswathi

JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Botswana kekal sebagai rakan penting Malaysia di rantau Afrika dengan pelaburan yang signifikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata pelaburan syarikat Malaysia di negara itu merangkumi sektor pembuatan pendawaian automotif, kampus Limkokwing University di Gaborone serta operasi penyelenggaraan lokomotif dan gerabak.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe.

“Beliau (Ndaba Nkosinathi Gaolathe) turut menyatakan penghargaan atas kerjasama erat menerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) serta tenaga pakar Malaysia, yang membantu memperkukuh keupayaan institusi Botswana dalam agenda pertumbuhan ekonomi dan reformasi perkhidmatan awam,” kata Anwar dalam satu kenyataan di sini.

Perdana Menteri berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk meneroka ruang kerjasama baharu yang memberi manfaat bersama.

“Saya turut titipkan salam kepada Presiden Duma Boko sebagai tanda persahabatan yang terus mengukuhkan hubungan Malaysia dan Botswana,” kata beliau.

Kedua-dua pemimpin juga menelusuri perjalanan hubungan diplomatik yang telah terjalin lebih tiga dekad atas dasar saling percaya, hormat dan aspirasi bersama demi kemajuan rakyat kedua-dua negara, kata Anwar.

Botswana, merupakan negara yang tidak berpantai di bahagian selatan Afrika.

Ia bersempadan dengan Afrika Selatan di sebelah selatan dan tenggara, Namibia di timur, Zambia di utara dan Zimbabwe di timur laut.

Anwar kini dalam rangka lawatan ke benua Afrika dengan Afrika Selatan sebagai negara kedua sempena menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20).

Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia, turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pegawai kerajaan Malaysia serta delegasi perniagaan.

-- BERNAMA