BERITA TERKINI   Untung bersih Affin Bank meningkat 1.5 peratus kepada RM135.49 juta pada suku pertama 2026 daripada RM124.08 juta sebelum ini | Agong berkenan dipersembahkan buku terbitan Bernama di Istana Negara hari ini | Gold Li Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 12 sen, satu sen lebih rendah daripada harga IPO sebanyak 13 sen, dengan 3.09 juta saham diniagakan | 

Bintulu Port Perkukuh Komitmen Integriti Menerusi Ikrar Bebas Rasuah

KUCHING, 21 Nov (Bernama) -- Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) hari ini mengesahkan semula komitmennya terhadap integriti dan tadbir urus yang baik apabila Lembaga Pengarahnya secara rasmi menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Majlis menandatangani ikrar yang diketuai oleh Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, mencerminkan komitmen tertinggi kumpulan itu untuk menegakkan piawaian tertinggi tatalaku beretika, ketelusan dan toleransi sifar terhadap rasuah di seluruh operasinya, kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

“Ahli Lembaga Pengarah turut menandatangani ikrar itu, sekali gus menunjukkan tanggungjawab bersama dan sokongan padu dalam memperkukuh integriti di seluruh kumpulan,” katanya.

Majlis menandatangani ikrar itu disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Datuk Hasbillah Mohamad Salleh yang menzahirkan sokongan dan kerjasama berterusan suruhanjaya itu dengan syarikat dalam memajukan inisiatif tadbir urus dan antirasuah.

Turut hadir anggota pasukan kepimpinan BPHB dan wakil-wakil SPRM.

BPHB berkata pemeteraian IBR itu mengukuhkan penyelarasan kumpulan dengan usaha antirasuah negara dan memperteguh komitmen jangka panjangnya terhadap ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus korporat yang beretika.

-- BERNAMA