BERITA TERKINI   Kerajaan Perak umum BKK Aidilfitri RM1,500 kepada penjawat awam negeri, dibayar 16 Mac - MB | Pemberian BKK dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 - JPA | Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan dibayar pada 13 Mac - JPA | PM Anwar seru agar wujud kematangan dalam urusan politik antarabangsa | Kementerian Luar pamer prestasi membanggakan, kunjungan ke luar negara beri manfaat kepada negara - PM Anwar | 

Syarikat MD Berpotensi Tinggi Diperlukan Oleh UK Untuk Bekerjasama - Gobind

SUBANG JAYA, 20 Nov (Bernama) -- Syarikat yang berpotensi tinggi di Malaysia yang dianugerahkan status Malaysia Digital (MD) yang berprestij dan memberi tumpuan kepada perkhidmatan digital bernilai tinggi, merupakan rakan kerjasama yang sedang dicari oleh United Kingdom, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kerjasama antara Malaysia dan UK merupakan langkah kukuh untuk Malaysia berada “di tengah-tengah realiti kecerdasan buatan (AI)”, sambil menegaskan ia bukan lagi sekadar tentang AI, tetapi tentang menerima pakai dan menyesuaikannya dalam setiap pendekatan yang mungkin.

Gobind menambah kolaborasi sedemikian boleh juga diperluas melangkaui ASEAN.

“Kerajaan kami sedang berusaha untuk Buatan Malaysia dan Dibuat untuk Rakyat Malaysia. Dengan kerjasama anda, kita boleh memperluaskannya kepada Buatan Malaysia, Dibuat untuk ASEAN. Biarlah kami menjadi jambatan ketika anda mengembangkan kehadiran di rantau yang pesat berkembang secara digital ini,” katanya ketika berucap di Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC keenam anjuran Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) di sini hari ini.

Sementara itu, UK pula bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi memperkukuh perdagangan digital antara kedua-dua negara.

Wakil Perdagangan UK ke Malaysia, Filipina, Singapura dan Brunei George Freeman berkata kedua-dua negara perlu memanfaatkan sepenuhnya Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang menandakan perjanjian perdagangan bebas pertama antara UK dan Malaysia.

Beliau menekankan bahawa adalah penting untuk memperdalam pakatan strategik dengan rakan sekutu dalam masa yang tidak dapat diramalkan.

“Jika anda memberitahu saya pada waktu itu bahawa era awal globalisasi akan berakhir dan kita akan berada dalam masa di mana Amerika Syarikat mengenakan tarif, Eropah berkonflik dengan Rusia, serta Laut China Selatan menjadi zon permusuhan, saya pasti akan terkejut,” kata beliau dalam ucapannya di majlis berkenaan.

Freeman menambah Suruhanjaya Tinggi British dan BMCC bersedia untuk membantu organisasi UK dan Malaysia dalam membentuk kerjasama.

“Ambil peluang ini untuk memberitahu kami apa sahaja yang anda perlu lihat, atau apa yang anda mahu kami lakukan dengan lebih banyak… beritahu kami bagaimana kami boleh membantu memanfaatkan CPTPP, membina kerjasama yang lebih mendalam, memacu pertumbuhan bersama dan memberi inspirasi kepada generasi usahawan dan inovator akan datang,” katanya.

Memetik data daripada Jabatan Perniagaan dan Perdagangan UK, Freeman berkata jumlah dagangan barangan dan perkhidmatan (eksport ditambah import) antara UK dan Malaysia mencatat £6.4 bilion bagi empat suku sehingga akhir suku kedua 2025, meningkat 11.7 peratus atau £669 juta pada harga semasa dari empat suku sehingga akhir suku kedua 2024 (£1=RM5.43).

Sementara itu, Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC menghargai syarikat-syarikat terbaik dari UK dan Malaysia dalam lapan kategori pencapaian.

Melalui anugerah tahunan ini, BMCC menempatkan dirinya sebagai puncak pengiktirafan untuk syarikat-syarikat yang cemerlang dalam landskap perniagaan di antara kedua-dua negara.

Anugerah ini menonjolkan pencapaian syarikat-syarikat yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, inovasi dan komitmen dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

-- BERNAMA